Sunday 25 July 2021

SEJARAH BERMULA DIBANGUNKAN BANDAR KOTA BHARU KELANTAN

Setiap tempat ada sejarah bagaimana ia mula dibangunkan. Begitu juga dengan bandar Kota Bharu.

Sejarah nama Kota Bharu bermula dengan pembinaan kota tempat bersemayam raja Kelantan. 

Sebelum Kota Bharu, ibu negeri Kelantan terletak di beberapa tempat seperti di Kota Jembal, Kota Kubang Labu, Kota Pulau Saba dan Kota Pengkalan Galuh.

Pusat pemerintahan itu berdasarkan kedudukan istana di mana pemerintah Kelantan bersemayam. 

Pada masa dahulu memang tidak ada nama tempat yang diiystiharkan sebagai ibu negeri. 

Sebelum Kota Bharu dibuka, pusat pemerintah Kelantan terletak di Kota Pulau Saba berhampiran Kampung Cina sekarang. Jaraknya lebih kurang dua kilometer dan pusat bandar Kota Bharu.

Setiap kali musim banjir, kawasan Pulau Saba itu semakin terhakis dan membahayakan kedudukan kota.

Untuk mengatasi masalah hakisan itu, telah dilakukan lencungan air dengan membina Sungai Raja Gali di kawasan Pasir Pekan.

Namun ia tidak menjamin keselamatan Kota Pulau Saba yang semakin terhakis setiap tahun. 

Sungai yang digali itu sekadar berfungsi setahun kerana berlaku banyak mendapan pasir dan lumpur.

Justeru, Sultan Muhammad 11 yang memerintah Kelantan pada ketika itu telah menitahkan agar dibina sebuah kota baharu untuk baginda bersemayam. 

Di dalam kota baharu ini dibina balai besar dan rumah-rumah untuk kediaman kerabat serta pembesar. Kota baharu itu telah dibuka pada tahun 1844.   

Sultan Muhammad 11 telah bersemayam di sebuah istana digelar "Kota Baharu". Kawasan kota juga dipanggil kota baharu. Maka wujud kekeliruan apabila disebut 'kota baharu' itu sama ada merujuk kepada nama istana atau nama kota.

Untuk mengelak kekeliruan itu, maka nama istana dikenali Istana Balai Besar dan kawasan kota serta sekitarnya dikenali kota baharu. 

Nama kota baharu kemudian dikenali sebagai nama tempat Kota Bharu yang kini menjadi ibu negeri Kelantan.

Manakala Istana Balai Besar masih kekal sampai sekarang yang dijadikan sebagai istana untuk istiadat seperti majlis penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena sambutan keputeraan Sultan Kelantan. 

Sejak dibuka, Kota Bharu telah mengalami proses urbanisasi yang pesat dan menjadi tumpuan penduduk.

Kedudukan berhampiran dengan Sungai Kelantan memberi banyak kelebihan kerana kapal dagang dapat berlabuh berhampiran dengan Kota Bharu. 

Dahulu terdapat pelabuhan atau pangkalan untuk kapal dagang berlabuh di kawasan yang kini dikenali Tambatan Diraja Kota Bharu.

Kota Bharu kini pasat membangun dan menjadi bandar terbesar di Pantai Timur. 

No comments:

Post a Comment