Thursday, 28 January 2021

UTAMAKAN KESEPAKATAN DAN KESEPADUAN

Dalam mana-mana organisasi, kesepakatan dan kesepaduan di antara ahli adalah faktor utama untuk membina kekuatan menjayakan misi dan matlamat yang ditentukan.

Hal yang sama perlu dilakukan dalam parti jika ingin kuat dan seterusnya mendapat undi dari rakyat. Permulaan kepada kesepakatan dan kesepaduan adalah dari pemimpin. Pemimpin menjadi contoh kepada akar umbi atau ahli di peringkat bawah.

Sikap dan gerak geri pemimpin sentiasa menjadi perhatian. Sepatah yang keluar dari mulut mereka akan dinilai oleh ahli. Begitu juga dengan tulisan, perbuatan dan sebagainya.

Satu perkara utama dalam parti yang perlu diamalkan ialah tidak menyerang sesama pemimpin. Pemimpin boleh berlainan pendapat, tetapi jangan sekali-kali dilakukan secara terbuka yang menyebabkan semua ahli dan rakyat tahu mengenainya.

Sesama pemimpin ada medan atau platform untuk mereka duduk berbincang bersama. Berbincang dan berilah pandangan mengikut pendapat masing-masing.

Di tempat tertutup itu mereka boleh ‘berbalah’ dalam memberi pendapat.  Namun, apabila keluar, perbezaan pandangan itu perlu dihentikan. Apa yang dizahirkan kepada ahli dan rakyat hanya perkara yang sama seperti yang telah diputuskan.

Menyerang sesama pemimpin parti di khalayak ramai bukan langkah bijak. Perbuatan itu bukan sahaja menyerang pemimpin berkenaan, tetapi juga parti. Kalau pemimpin parti dilihat lemah, maka lemahlah parti itu.

Kalau parti dipandang lemah, maka pemimpin yang membuat serangan itu juga sebenarnya dinilai lemah. Kalau kita berada di satu kapal, jika kapal tenggelam, maka semua akan tenggelam.

Kepada pemimpin UMNO yang tidak berada dalam kabinet Perikanan Nasional (PN), jauhi sikap menyerang rakan yang berada dalam kabinet. Menteri dari UMNO membawa misi dan nama UMNO. Jika mereka diserang dengan pelbagai tomohan, yang nampak lemah adalah menteri dari UMNO itu yang secara tidak langsung melambangkan kelemahan UMNO.

Kalau UMNO lemah, maka pemimpin yang menyerang itu juga dilihat lemah sama. Tentu sekali ahli UMNO tidak mahu dilihat lemah. Jadi, kepada pemimpin dan ahli UMNO, jangan serang sesama sendiri.

Tahniah kepada menteri dari UMNO yang cemerlang dalam kabinet PN sekarang, terutama Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

No comments:

Post a Comment