Sunday, 27 September 2026

JAMBATAN TAMPARULI JADI MERCU TANDA

 
Jambatan Tamparuli jadi mercu tanda. Tamparuli merupakan sebuah pekan kecil yang terletak dalam daerah Tuaran, Sabah. Jaraknya dari Kota Kinabalu ialah kira-kira 35 kilometer atau mengambil masa perjalanan kira-kira 40 minit. Majoriti penduduknya adalah daripada suku kaum Kadazan Dusun.

Jambatan Tamparuli menjadi mercu tanda menarik di pekan Tamparuli. Lebih menarik lagi apabila ada sebuah lagu 'Jambatan Tamparuli' yang dicipta oleh Justin Lusah.

Banyak pengunjung akan singgah bergambar kenang-kenangan di kawasan Jambatan Tamparuli. Malangnya, banyak orang keliru dengan Jambatan Tamparuli dan Jambatan Gantung Tamparuli. Banyak orang singgah bukan kerana Jambatan Tamparuli, tetapi Jambatan Gantung Tamparuli.

Bahkan, jika memperkatakan tentang kisah legenda Solungkoi, lalu mereka kaitkan dengan Jambatan Gantung Tamparuli.

Bagi mereka yang belum pernah pergi ke Tamparuli, harus diingatkan Jambatan Gantung Tamparuli dan Jambatan Tamparuli adalah dua objek yang berbeza.

Jambatan Gantung Tamparuli seperti namanya adalah jambatan guntung yang dibina tergantung. Jambatan ini hanya untuk laluan penjalan kaki dan lebih berfugsi sebagai tarikan pelancong untuk mengalami pengalaman melalui jambatan gantung.

Manakala Jambatan Tamparuli konkrit berada tidak jauh dari Jambatan Gantung Tamparuli yang berada lebih tinggi di atasnya. Jambatan Tamparuli boleh dilalui pelbagai jenis kenderaan, termasuk kenderaan berat.

Jambatan Tamparuli yang dikaitkan dengan kisah legenda gadis (sumandak) Dusun yang bernama Solungkoi, bukannya Jambatan Gantung Tamparuli.

Banyak orang menyangka Solungkoi adalah gadis yang dikorban untuk memastikan pembinaan Jambatan Gantung Tamparuli berjalan lancar, sedangkan ia menjadi kisah lagenda berkaitan pembinaan Jambatan Tamparuli.

Jambatan Gantung Tamparuli yang ada sekarang adalah jambatan baharu dibina pada awal tahun 1999 selepas berlakunya kejadian banjir luar biasa yang memusnahkan jambatan gantung lama.

Jambatan gantung yang baharu ini mempunyai ukuran panjang lebih dari 100 meter dan direkodkan sebagai jambatan gantung terpanjang di Sabah. 

Jambatan Gantung Tamparuli (atas) dan Jambatan Tamparuli (bawah)

Jambatan Gantung Tamparuli (sebelah kiri) dan Jambatan Tamparuli (kanan bawah)