Friday, 14 October 2022

KELANTAN GAGAL TANGANI MASALAH SOSIAL REMAJA

 
Kerajaan Kelantan yang mendakwa ‘Membangun Bersama Islam’ dilihat gagal untuk melahirkan rakyat yang beriman dan terhindar dari melakukan perbuatan ditegah oleh agama dan undang-undang negara.

Masalah sosial dalam kalangan remaja Kelantan semakin meruncing, dengan 197 orang ditahan polis sepanjang tahun 2021 kerana terbabit kes rogol, sumbang mahram dan penyalahgunaan dadah.

Daripada jumlah itu, 100 remaja ditangkap kerana kes rogol dan sumbang mahram yang jumlahnya meningkat 19 peratus berbanding tahun 2020 (84 orang).

Seramai 97 remaja pula terbabit penyalahgunaan dadah.

Gejala sosial remaja di Kelantan berada pada tahap serius dan ini dapat dilihat daripada statistik terkini di mana berlaku peningkatan penglibatan golongan ini khususnya, dalam kes-kes rogol dan sumbang mahram.

Remaja pada usia 10 hingga 18 tahun berada pada fasa perkembangan ke alam dewasa dan peralihan daripada zaman kanak-kanak menimbulkan sikap ingin mencuba, selain alami perubahan lain termasuk fizikal, jasmani, sosial dan emosi.

Disebabkan itu, remaja perlu dibantu agar tidak hanyut dan gagal mengurus kehidupan dengan baik. Hal ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana remaja merupakan tonggak dalam menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang.

Justeru, semua pihak perlu memberi fokus menangani kes seksual dan gejala sosial membabitkan remaja yang agak kritikal di negeri itu ketika ini.

No comments:

Post a Comment