Banyak pihak, termasuk di kalangan ahli
UMNO mempersoalkan hubungan UMNO dan DAP yang dianggap membelakangkan kepentingan
Melayu dan Islam. Sebaliknya, kerjasama itu dilihat hanya untuk menyelamatkan
individu tertentu sahaja.
Pemimpin UMNO telah berulang kali
menegaskan bahawa bentuk hubungan UMNO dan DAP adalah atas dasar untuk membentuk
kerajaan Pusat setelah tidak ada parti atau gabungan parti layak untuk
membentuk kerajaan. Keadaan itu menyebabkan pembentukan kerajaan tergantung
sehingga Agong memberi titah agar dibentuk Kerajaan Perpaduan seperti yang
terbentuk sekarang ini.
UMNO BN masih kekal sebagai satu blok
gabungan parti. UMNO tidak membentuk gabungan parti dengan PH. Gabungan UMNO PH
DAP sekadar untuk membentuk dan mengekalkan Kerajaan Perpaduan.
Soal usaha bersama UMNO dan PH untuk menyertai
PRN di enam negeri, ia juga bukan dalam bentuk parti gabungan. Ia lebih kepada
satu kerjasama tidak bertanding sesama sendiri di kalangan parti-parti yang
membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat, serta saling membantu.
Kerjasama UMNO DAP secara konsepnya akan
terhenti apabila tamat penggal Kerajaan Perpaduan apabila ia dibubarkan dan
seterusnya diadakan PRU-16. Jadi, tidak timbul soal pembahagian kerusi antara
UMNO DAP atau mana-mana parti yang tidak berada di dalam BN.
Tentang kemungkinan UMNO meneruskan
kerjasama dengan PH DAP semasa PRU-16, perkara itu belum dibincangkan lagi.
Justeru, apa yang perlu diberi perhatian di
kalangan pemimpin dan ahli UMNO ialah terus memperkasakan UMNO sehingga
mencapai kedudukan terbaik untuk menghadapi PRU-16 agar tidak perlu bergabung
dengan mana-mana parti, selain apa yang telah sedia ada di dalam BN.
Atau, sekiranya UMNO perlu terus melakukan
kerjasama dengan PH, jika UMNO ketika itu berada pada kedudukan yang lebih
kuat, terutama selepas PRN di enam negeri, tentu sekali tawaran jumlah kerusi
untuk UMNO pada PRU-16 lebih banyak.
Secara tuntas, apa yang perlu dilakukan di
kalangan pemimpin dan ahli UMNO ialah berusaha memperkasakan parti dan bukan secara
berterus-terusan mempersoalkan mengapa perlu berkerjasama dengan DAP.
No comments:
Post a Comment