Sunday 18 December 2016

IBADAT SEPANJANG MASA

Berbahagialah mereka yang mendapat kemanisan ibadah dengan rukuk, sujud, bersedekah, berzikir dan membaca al-Quran.

Hadis Qudsi menyebut bahawa: "Wahai hamba-Ku, sesungguhnya itulah amalan kamu yang akan Aku hitung dan akan Aku memberi ganjaran untuknya. Sesiapa yang mendapat kebaikan daripadanya, hendaklah dia memuji syukur kepada-Ku. Jika sebaliknya, janganlah dia menyalahkan orang lain selain dirinya sendiri". (Riwayat Muslim dari Abu Zarr).

Mereka yang hanya mementingkan dunia akan menumpukan sepenuh perhatian kepada kehidupan dunia.  Sebalik mereka yang mengharapkan akhirat tidak akan dilalaikan dengan kehidupan dunia. 

Baginda SAW pernah berkata kepada Syaddad bin Aus bermaksud: "Wahai Syaddad, jika kamu melihat manusia berlumba-lumba mengumpulkan emas dan perak, maka pada ketika itu, janganlah kamu lupa menyebut, Ya Allah, aku memohon agar ditetapkan dalam ketaatan, bersungguh-sungguh dalam mencari kebenaran. Aku memohon rahmat dan keampunan daripada-Mu, sentiasa bersyukur terhadap nikmat-Mu serta kesempurnaan ibadah terhadap-Mu. Aku memohon kesejahteraan hati, kebenaran lidah yang tidak bertulang, aku memohon kebaikan dan berlindung daripada sebarang keburukan yang Engkau lebih mengetahui kerana Engkau adalah Tuhan yang mengetahui segala yang ghaib'. (Riwayat Ahmad dan Tabrani).

Sesungguh ibadah kepada Allah itu hendaklah dilakukan sepanjang masa dan bukan bermusim-musim. 

Saidatina A'isyah pernah ditanya bagaimana keadaan Baginda SAW. Adakah Baginda mengkhususkan suatu hari untuk beribadah atau bagaimana? Maka jawab A'isyah: "Tidak, Baginda SAW tidak pernah menjadikan ibadah sebagai bermusim, malah Baginda SAW sentiasa dalam keadaan beribadah. Adakah kamu mampu berbuat demikian?" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Antara perkara yang perlu dilakukan dalam rangka menyempurnakan kehidupan sepertimana disyariatkan ialah mengeratkan silaturahim.  

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan jangan kamu sekutukan Dia dengan sesuatu pun juga dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri". (Surah an-Nisa', ayat 36).

Baginda SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain bagaikan satu bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain". (Riwayat Bukhari).

No comments:

Post a Comment