Sunday 18 December 2016

SIAPA PENJAGA KAABAH SELEPAS NABI ISMAIL

Penjaga Kaabah. Selepas Makkah diasaskan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, serta pembinaan Kaabah, tempat itu telah menjadi tumpuan penduduk dari kawasan sekitar, terutama mereka yang merentas padang pasir untuk menjalankan perniagaan.

Amaliq ialah satu suku kaum yang berasal dari Yaman. Setelah mereka mengetahui bahawa terdapat sumber air di Makkah dan kabilah Jurhum telah berpindah ke Makkah, mereka turut berpindah ke Makkah dan tinggal di Jiyad iaitu kawasan bahagian bawah Makkah (al-Masfalah). 

Setiap pedagang yang datang dari Yaman yang memasuki kawasan ini akan dikenakan cukai 10 peratus. Ketua kabilah ini bernama al-Sumaida bin Hud bin Hadr bin Mazin.

Kabilah ini sentiasa berperang dengan kabilah Jurhum. Setelah mereka mendapat kemenangan, hak menjaga Kaabah telah jatuh ke tangan mereka.

Sewaktu di bawah penjagaan mereka, telah berlaku kerosakan pada Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim, lalu mereka membaikinya mengikut binaan Nabi Ibrahim tanpa sebarang tambahan.

Jurhum ialah kabilah yang pertama datang menumpang air zam zam Siti Hajar. Mereka berkampung di Bukit Quaiqian, iaitu bukit yang bertentangan dengan Bukti Abi Qubais atau istana al-Safa. 


Mereka menguasai kawasan atas Makkah (al-Mala). Setiap pedagang yang memasuki kawasan mereka akan dikenakan cukai 10 peratus.

Kabilah ini diketuai oleh al-Harith bin Mudhad. Beliau ialah orang pertama dari suku ini yang menjaga Kaabah setelah menewaskan kabilah Amaliq. Pemerintahan mereka berterusan selama 300 tahun.

Semasa pemerintahan mereka, telah berlaku kejadian banjir di Makkah. Air memasuki kawasan Kaabah dari sebelah atas sehingga meruntuhkan setengah binaan Kaabah. Kemudian, Jurhum membinanya semula berdasarkan asas binaan Nabi Ibrahim. tetapi mereka meninggikan sedikit binaannya dan menjadikan pintunya berdaun dua serta dikunci.

Lama kelamaan, kabilah Jurhum tidak lagi mengambil berat tentang kesucian Kaabah, sehingga berlaku beberapa kejadian maksiat yang tidak pernah terjadi sebelumnya.

No comments:

Post a Comment