Tuesday 29 August 2023

HANYA PRESIDEN UMNO DIDESAK LETAK JAWATAN

 
Di Malaysia terdapat banyak parti. Tetapi, daripada banyak-banyak parti tersebut, hanya Presiden UMNO yang didesak letak jawatan. Ini bukan hanya berlaku ketika era Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tetapi melibatkan semua era presiden. Sesiapa yang menjadi Presiden UMNO pasti menjadi sasaran desakan agar berundur.
 
Menariknya, desakan berundur itu bukan sahaja datang daripada ahli UMNO, bahkan daripada pemimpin dan ahli parti-parti lain.
 
Kalau sebut gagal dalam pilihan raya sebagai punca presiden didesak meletak jawatan, parti parti lain paling banyak gagal. Contohnya, Pas telah menyertai pilihan raya bermula prakemerdekaan dan 15 kali pilihan raya umum (PRU), parti itu tidak perlu berjaya sehingga menubuh kerajaan sendiri di peringkat Pusat. Namun, ahlinya tidak pernah mendesak presiden agar meletak jawatan.
 
Kalau kerana dihadapkan ke mahkamah, rasanya pemimpin daripada DAP dan Bersatu juga ada yang terlibat. Namun, ahli parti tetap mempertahankan pemimpin tertingginya.
 
Perdana Menteri Kesepuluh sebelum berjaya berada pada kedudukan sekarang banyak kali gagal dalam percubaannya. Bahkan beliau bukan setakat dihadapkan ke mahkamah, tetapi juga telah dijatuhi hukuman penjara. Namun, pemimpin PKR dan ahlinya masih setia menyokong sehingga mencapai kedudukan sekarang.
 
UMNO parti hebat. Ada banyak ahli dan telah menempuh pengalaman dalam politik yang cukup matang. Nama UMNO gah bukan sahaja di dalam negara, bahkan di kalangan pemerhati politik luar negara.
 
Struktur organiasi UMNO paling lengkap. Paling ketara jentera parti untuk menghadapi pilihan raya. Memang lengkap dan bersturktur. Semua itu sepatutnya membantu memastikan UMNO kekal berkuasa.
 
Namun, satu perkara yang semakin terhakis di kalangan pemimpin dan ahli UMNO ialah sikap setia kepada parti dan institusi presiden. Ada di kalangan mereka hanya bercakap tentang setia ketika apa yang diingini tercapai atau dinikmati. Mereka akan memberontak dan melawan presiden dan parti jika apa yang dihajati tidak tercapai.
 
Golongan ini lupa pada nikmat dan kebaikan yang telah lama mereka dapat melalui UMNO. Mereka menjadi cukup terkenal, mendapat pelbagai kemudahan, nama, darjat, gelaran dan harta sepanjang berada dalam UMNO.
 
Tetapi, apabila sedikit yang diingini tidak ditunaikan, terus mereka menjadi pendurhaka kepada presiden dan parti. Mereka mengamuk dan bertindak seperti hilang akal. Presiden yang sebelum ini disanjung dan dipuji telah bertukar dianggap manusia paling keji dan tidak berguna. Parti yang dianggap keramat dan berjasa telah diserang tanpa belas kasihan.
 
Kepada yang masih setia, perkuatkan azam dan semangat untuk terus kekal menyokong presiden dan parti. Setia atau wala adalah pengorbanan besar. Satu perjuangan suci yang menjadi azimat kekuatan diri.
 
Ingatlah tentang sejarah. Semasa Mahathir menjadi Presiden UMNO, dituduh UMNO rosak sebab presiden. Akronim U.M.N.O ditukar menjadi “Undur Mahathir Negara Ok”. Tukarlah Mahathir dengan Pak Lah.
 
Bila Pak Lah jadi Presiden, dituduh UMNO rosak sebab Presiden. Tukarlah Pak Lah dengan Najib.
 
Bila Najib jadi Presiden, dituduh UMNO rosak sebab Presiden. Tukarlah Najib dengan Zahid Hamidi.
 
Bila Zahid jadi Presiden, dituduh UMNO rosak sebab Presiden. Begitulah yang diulang-ulang.
 
Bukanlah semua perkara kita setuju dengan Presiden, tetapi adab dan adatnya dalam berjemaah, ahli perlu mentaati pemimpin selagi mana arahannya itu tidak melanggar akidah dan syarak.
 
Ahli-ahli UMNO usah terpengaruh dengan dakyah musuh UMNO. Kerana, tukarlah banyak mana pun Presiden, bukannya musuh hendak sokong UMNO. Mereka hanya hendak melemahkan UMNO sahaja, dah namanya pun musuh politik.
 
Akibat terpengaruh dengan dakyah musuh politik, UMNO sudah tukar Presiden dan kepimpinan banyak kali. Adakah UMNO menjadi semakin kuat?
 
Pas bila anda tukar Presiden? Presiden Pas yang sama kata wajib undi DAP. Presiden yang sama kata wajib undi Gerakan. Presiden Pas yang sama membentuk Muafakat Nasional dengan UMNO. Presiden Pas yang sama pernah menyokong Perdana Menteri sekarang.
 
Ahli dan penyokong Pas wala akan kekal menyokong presiden biar apapun yang dikatakan dan dilakukan.  
 

No comments:

Post a Comment