Sambutan Aidiladha Kelantan meriah. Banyak sebab atau faktor kemeriahan Raya Korban atau Raya Haji di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Ia berkaitan budaya dan semangat terhadap amalan dilakukan.
Kemeriahan Hari Raya Korban di Kelantan tidak dinafikan kerana acara korban diadakan secara kumpulan kecil di mana setiap ekor lembu disembelih di satu tempat yang ditentukan oleh ketua kumpulan yang biasanya juga pemilik asal lembu itu.
Hampir seluruh ahli keluarga yang terlibat dalam ibadat korban akan berkumpul di tempat di mana lembu akan disembelih.
Bayangkan tujuh keluarga bagi mewakili tujuh bahagian seekor lembu berkumpul di satu tempat. Suasana ini pastinya kelihatan meriah.
Biasanya tidak semua keluarga yang terlibat datang dari satu kampung yang sama. Ada yang datang jauh dari daerah lain kerana yang menawarkan bahagian korban itu mungkin ada hubungan keluarga atau rakan sekerja.
Jadi, sejak awal pagi lagi atau sebaik selesai sembahyang sunat hari raya haji, mereka terpaksa bertolak dari rumah masing-masing. Kesibukan kenderaan di jalan raya agak ketara, masing-masing menuju ke tempat acara ibadat korban.
Ketika acara ibadat korban itu wujud perkenalan baru yang terbentuk suasana persaudaraan yang mesra biarpun baru berkenalan.
Lembu yang dikorbankan diuruskan sendiri oleh ahli keluarga berkenaan. Mereka berkumpul melakukan kerja melapah mengikut kebolehan masing-masing dengan diketuai oleh seseorang yang lebih arif tugas tersebut.
Kerja-kerja ini menjadi pengalaman berharga bagi mereka yang kali pertama melakukannya. Mereka bergotong royong dan ringan tulang melakukan tugasan mengikut kemampuan masing-masing.
Disebabkan kerja melapah ini perlu dilakukan sendiri, ada ibu bapa yang anaknya tinggal atau bekerja di luar Kelantan akan awal-awal lagi ingin kepastian sama adanya akan pulang atau tidak.
Jika anak tidak dapat pulang, mungkin dia terpaksa membatalkan niat untuk melakukan ibadat korban pada tahun itu.
Selain sebagai ibadat, korban juga adalah sebahagian tanda penghargaan ibu bapa terhadap kepulangan anak-anak pulang berhari raya di kampung.
Sebab itu, anak Kelantan akan berusaha mendapatkan cuti pulang ke kampung pada sambutan Aidiladha kerana merasakan seperti ada tanggungjawab yang perlu dilakukan.
Proses melapah dan pengagihan bahagian daging korban biasanya mengambi masa kira-kira tiga jam. Sepanjang tempoh itulah nampak suasana kemeriahan dan masing-masing ada tugas yang perlu dilakukan.
Bagi kaum wanita pula sibuk memasak untuk dihidangkan sebaik selepas proses melapah dan pengangihan bahagian korban selesai. Menu masakan biasanya ringkas dengan menggunakan daging korban yang mula-mula diasingkan.
Dengan kata lain, ada dua kemeriahan di sini, iaitu kaum lelaki sibuk melakukan kerja-kerja melapah, pembersihan dan pengagihan daging korban.
Manakala kaum wanita pula sibuk menyediakan makanan yang perlu dilakukan dalam tempoh masa yang agak singkat. Biasanya, sebaik kerja-kerja melapah selesai, hidangan juga siap untuk dimakan.
Daging korban, termasuk semua organ seperti perut, hati, tulang, limpa dan tulang yang telah dibahagikan mengikut tujuh bahagian akan diuruskan dan diagihkan sendiri oleh keluarga yang mengadakan ibadat korban kepada sesiapa yang difikirkan layak menerimanya.
Belulang atau kulit lembu yang termasuk dalam bahagian yang sepatutnya diagihkan tujuh bahagian biasanya dipersetujui disedekahkan kepada sesiapa yang inginkannya.
Jadi, setelah selesai kerja-kerja di tempat menyembelih lembu, maka daging itu akan dibawa pulang ke rumah orang mengadakan ibadat korban. Setelah itu, daging dikerat menjadi bahagian lebih kecil untuk diagih-agihkan pula.
Di sini sekali lagi menampakkan kemeriahannya apabila kita akan melihat orang bergerak ke sana dan ke mari untuk mengagih-agihkan bahagian daging korban.
Ada yang terpaksa memandu agak jauh semata-mata untuk mengagihkan daging korban sebagai tanda persaudaraan dengan ahli keluarga atau kenalan yang tinggal jauh.
Ada juga yang memasak daging korban untuk dijadikan hidangan kepada jemputan yang terdiri sanak saudara dan jiran tetanga yang diadakan pada sebelah malamnya atau pada hari keesokannya. Jadi, di sana sini ada orang membuat kenduri sempena ibadat korban.
Selain diniat untuk ibadat korban, banyak juga ibu bapa yang mengambil kesempatan mengambil satu bahagian daripada tujuh bahagian lembu untuk diniat sebagai akikah. Daging akikah lebih afdal dimasak dan kemudian dijamu kepada orang ramai.
Hal ini secara tidak langsung memperlihatkan suasana kemeriahan sambutan Aidiladha di Kelantan. Tidak ada acara sambutan lain yang berbeza dengan sambutan di luar Kelantan. Dengan kata lain, kemeriahan sambutan Aidiladha di Kelantan disebabkan tradisi perlaksanaan ibadat korban yang agak unik.
Mengenangkan kemeriahan inilah, orang berasal daripada Kelantan yang tinggal di seluruh negara akan sedaya mungkin pulang menyambut Aidiladha.
Bagi anak Kelantan yang bertemu jodoh dengan pasangan daripada luar Kelantan, bersedia bertolak ansur menyambut Aidilfitri di kampung pasangan mereka, tetapi mesti balik ke Kelantan ketika Aidiladha. Jelas sekali betapa pentingnya Aidiladha bagi rakyat Kelantan.
No comments:
Post a Comment