Persepsi masyarakat dunia terhadap umat Islam sekarang sentiasa dikaitakan dengan keganasan dan perbuatan melampau. Justeru, sentimen anti Islam semakin meluas.
Fobia Islam dijadikan satu aliran pemikiran baru di Barat dan seluruh dunia.
Hakikat yang tidak dapat dinafikan sekarang ialah kekuatan umat Islam sekadar mampu berada dalam fasa defesif, yakni bertahan dan cuba mencari ruang kekuatan baru. Keupayaan dan ruang bagi umat Islam melakukan fasa offensif agak terbatas disebabkan kelemahan sistem pertahanan, ekonomi, sosial dan pendidikan.
Kekuatan yang dimiliki umat Islam tidak mampu untuk bertindak offensif. Dengan kedudukan sekarang, jika dilakukan tindakan offensif bakal mengundang masalah yang lebih besar kepada umat Islam.
Masyarakat Barat telah lama memandang Islam sebagai ‘musuh’yang perlu sentiasa diawasi dan dikenakan tekanan secara berterusan. Barat sedar keupayaan Islam untuk menguasai dunia seperti yang pernah berlaku pada era kegemilangan Islam dulu.
Berdasarkan kepada kajian dan pemerhatian beberapa pihak, umat Islam dijangka mampu mengambil alih penguasaan dalam percaturan politik, ekonomi dan ketenteraan pada beberapa dekad akan datang. Hal ini berlaku sekiranya umat Islam bersatu dan menguasai ilmu.
Justeru, Barat begitu prejudis terhadap Islam dan seboleh-bolehnya masyarakat Islam mesti digambarkan melalui sudut yang tidak baik dengan menggunakan media.
Umat Islam memang tidak mampu menghalang media Barat melaporkan tentang Islam mengikut kaca mata mereka kerana media Barat dikuasai individu dan pertubuhan anti Islam.
Apa yang perlu dilakukan sekarang ini ialah umat Islam jangan mudah terpengaruh dengan apa yang dimuatkan dalam media Barat.
Untuk mengimbangi kekuatan media Barat, masyarakat Islam di seluruh dunia perlu bergabung membentuk kumpulan media sendiri.
Sekarang ini, di kalangan negara Islam lebih bergantung kepada sumber yang disediakan oleh media Barat.
Hakikatnya, umat Islam perlu mengatur strategi dan bertindak untuk memulihkan imej, kuasa dan kekuatan. Tidak guna menyalahkan pihak lain yang berniat jahat terhadap umat Islam. Keadaan itu sepatutnya jadikan sebagai cabaran untuk lebih gigih menghadapinya.
Ketika Rasulullah memimpin kerajaan di Madinah, strategi menghadapi segala ancaman pihak kafir dilakukan dengan teliti. Perkara utama dilakukan ialah menyatukan seluruh kekuatan penganut Islam tanpa mengira batasan geografi dan bangsa.
Perpaduan yang dibentuk bukan bertujuan memusuhi dan memerangi mana-mana pihak dengan kekuatan. Islam adalah agama keamanan dan menghormati pihak lain.
Tidak ada agama lain seperti Islam yang begitu menekankan kepada aspek hormat menghormati.
Umat Islam harus sedar bahawa tindakan ekstrem bukan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi sekarang. Semakin banyak tindakan ekstrem dilakukan, semakin lemah kedudukan umat Islam.
Tindakan keganasan yang dilakukan kumpulan pelampau Islam telah menyebabkan umat Islam tertekan dan menjadi sasaran pengawasan negara kuasa besar.
Banyak negara Islam terpaksa tundak kepada arahan Barat berkaitan pemantauan aktiviti ekstrim pertubuhan Islam.
Jihad yang mampu dilakukan oleh seluruh umat Islam sekarang ialah membina kekuatan melalui jati diri. Umat Islam perlu bangkit menjadi umat contoh yang dihormati, bukannya dikeji.
No comments:
Post a Comment