Alam hidup remaja pernuh dengan semangat yang aktif dan sentiasa meningkat setiap masa. Ia berkaitan dengan penemuan pengalaman baru dan suntikan harapan untuk mendapat pengiktirafan yang lebih daripada orang lain.
Sebab itu, peluang nilai-nilai positif ketika usia remaja mesti digunakan sepenuhnya untuk kebaikan. Sudah menjadi kebiasaan, remaja sanggup mencuba dan berdepan dengan cabaran untuk melaksanakan sesuatu hasrat yang ingin dicapai.
Individu yang berjaya dalam hidup mempunyai sejarah hidup remaja yang membanggakan dengan pengisian jatidiri, semangat juang yang tinggi dan menjadi pelajar yang cemerlang.
Mereka juga telah menunjukkan ciri yang baik dari segi kepimpinan, kesungguhan, cita-cita dan pengorbanan untuk membina hidup masa depan yang cemerlang.
Remaja memerlukan bimbingan dan perancangan terarah untuk mereka melaksanakan sesuatu aktiviti berfaedah.
Tanpanya remaja terdedah kepada pelbagai ancaman yang menyebabkan remaja kepada kehidupan yang bersifat berhibur, berpeleseran, bercinta, lepak, lumba haram, dan gejala sosial yang meruntuhkan maruah bangsa.
Keadaan itu menyebabkan remaja terus hanyut dalam gaya hidup yang membinasakan.
Kehidupan remaja dahagakan kepada aktiviti. Remaja ingin sentiasa aktif dan melakukan apa yang mendatangkan kepuasan. Kehidupan remaja tidak betah dalam keadaan terkongkong atau pasif.
Mereka ingin meneroka pelbagai perkara baru yang bukan saja memberi keseronokan, tetapi juga mengutip pengalaman baru.
Untuk mengisi masa terluang dan mengelak remaja daripada dipengaruhi anasir buruk, penyertaan dalam persatuan merupakan satu cara terbaik. Dengan menyertai persatuan, remaja dapat melakukan pelbagai aktiviti yang mendatangkan kebaikan.
Ruang masa disalurkan kepada aktiviti persatuan yang mendedahkan mereka kepada banyak pengalaman dan mendidik jati diri yang terarah kepada perkara positif.
Di negara kita terdapat banyak persatuan yang sesuai disertai oleh remaja. Remaja boleh memilih persatuan bergantung kepada minat dan kebolehan masing-masing. Ada persatuan yang beroperasi peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri, daerah dan tunggal.
Bentuk persatuan ada yang bersifat kesukarelawan, keagamaan, sukan dan hobi. Semua persatuan baik disertai memandangkan matlamat penubuhannya berasaskan kepada tujuan murni.
Menyertai persatuan memberi peluang untuk setiap ahli yang mempunyai minat dan kebolehan yang sama mengembangkan lagi bakat yang dimiliki. Mereka dapat bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan demi membaiki dan meningkatkan kebolehan yang dimiliki.
Amat penting ahli baru menimba pengalaman dengan ahli lama. Ada persatuan melatih ahli mengenai kepakaran tertentu seperti pertolongan cemas, kawad, pengembaraan hutan dan sebagainya. Jadi, ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan pengumpulan pengalaman.
Melalui persatuan dapat membentuk hubungan lebih baik, bersatu padu, saling menghormati, bertukar-tukar pengalaman, tidak mementingkan diri dan terbentuknya sifat-sifat murni lain.
Dengan lahirnya sifat-sifat baik itu, remaja dapat memahami kepentingan sifat-sifat tersebut diamalkan di dalam diri mereka sepanjang masa, tidak terhad hanya sesama ahli persatuan. Ia adalah nilai-nilai murni yang perlu disemai, diperkasa dan diamalkan oleh semua orang.
Dengan lahirnya sifat-sifat baik itu, remaja dapat memahami kepentingan sifat-sifat tersebut diamalkan di dalam diri mereka sepanjang masa, tidak terhad hanya sesama ahli persatuan. Ia adalah nilai-nilai murni yang perlu disemai, diperkasa dan diamalkan oleh semua orang.
Pergaulan sesama ahli persatuan akan mendewasakan remaja. Pemikiran mereka lebih terbuka dan dapat menerima perubahan yang membawa kepada kebaikan. Remaja sendiri dapat menyatakan pendapat dan memberi sumbangan bermakna kepada kemajuan persatuan.
Keadaan sedemikian menjadikan remaja lebih memahami kehidupan alam masyarakat yang kompleks. Remaja menjadi sebahagian masyarakat yang merancang dan melakukan kebaikan untuk semua.
Melalaui persatuan juga memberi pendedahan kepada remaja tentang kepimpinan. Mungkin remaja sendiri diberi tugas untuk menjadi ahli jawatankuasa kepada persatuan yang disertai.
Jawatan dalam persatuan adalah satu penghormatan kepada remaja. Mereka dipilih dan diberi kepercayaan oleh ahli lain atas dasar kebolehan yang dimiliki.
Pendedahan awal pengalaman memimpin persatuan merupakan asas terbaik untuk mendidik dan membentuk remaja menjadi pemimpin. Lambat laung remaja akan menggantikan pemimpin yang sedia.
Mereka memerlukan pendedahan awal agar dapat mengambil tugas berat itu nanti dengan persediaan yang cukup. Seorang pemimpin bukannya dilahirkan, tetapi terbentuk melalui asuhan dan pengalaman yang berterusan.
No comments:
Post a Comment