Sunday, 18 December 2016

PENTING LAKU AMALAN ZIARAH


Aidilfitri peluang terbaik untuk melakukan kunjung mengunjung bagi mengeratkan persaudaraan dan persahabatan. Bertemu dengan sanak saudara, jiran tetangga dan rakan dengan diiringi saling bermaaf-maafan pada Aidilfitri adalah tuntutan agama.

Pada hari-hari biasa agak sukar untuk kita berkunjung ke rumah seseorang kerana merasakan tidak ada keperluan yang benar-benar penting. Ada juga kerana takut mengganggu tuan rumah yang ada urusan hidup masing-masing.

Justeru, amalan kunjung mengunjung pada Aidilfitri perlu disemarakkan. Jangan ada alasan untuk tidak kunjung mengunjung, melainkan halangan yang memang tidak dapat dielak.

Panduan melakukan kunjungan hendaklah dimulakan dengan jiran paling dekat. Jiran terdekat paling berhak mendapat kunjungan kita lebih awal. Dalam Islam, kiraan kejiranan ialah 40 buah di utara, 40 di selatan, 40 di timur dan 40 buah di barat.

Tetapi, jika ibu bapa tidak tinggal bersama, utamakan berkunjung ke rumah ibu bapa dahulu. Jika mempunyai ahli keluarga yang banyak, elok tentukan masa berkumpul supaya seluruh ahli keluarga dapat berkumpul secara serentak.

Ketika menyambut kemeriahan Aidilfitri, jangan pula melupai nasib golongan fakir dan miskin, atau mereka yang tidak mempunyai tempat menumpang kasih seperti anak yatim, mualaf dan perantau. Golongan ini juga ingin menikmati kemeriahan sepertimana orang lain.

Utamakan juga kunjungan melawat mereka yang terlantar sakit sama ada di hospital maupun di rumah. Mereka ini sudah tentu amat mengharapkan kunjungan orang lain memandangkan dia sendiri tidak mampu untuk berkunjung ke tempat lain.

Kunjungan ke rumah golongan miskin elok dibawa bersama-sama kuih muih untuk mereka, selain sumbangan lain seperti barang keperluan harian dan wang.       

Semua Muslim adalah bersaudara yang perlu dihubungkan dengan silaturahim dan berkasih sayang. Tidak ada individu Muslim yang dianggap hidup sebatang kara di dunia ini.  

Kegembiraan menyambut Aidilfitri dikongsi dengan seluruh umat Islam tanpa mengira kedudukan, kekayaan, asal keturunan maupun usia.  

Bagi golongan fakir dan miskin, tidak ada yang lebih bermakna dan mengembirakan jika ada orang yang sudi menghulurkan sedekah berupa wang atau barang keperluan ketika sambutan hari penuh kegembiraan ini.

Bantuan yang diterima sudah tentu dapat menceriakan sambutan dan membantu meringankan beban hidup yang dialami selama ini. 

Banyak orang berasa sambutan Aidilfitri tidak membawa apa-apa erti memandangkan keadaan yang dilalui tidak berbeza berbanding hari-hari biasa.

Antara suruhan Rasulullah ialah bagi yang mampu hendaklah mengkayakan golongan fakir dan miskin pada hari Aidilfitri. 

Mengkayakan di sini bermaksud memenuhi keperluan golongan itu dari segi makanan, minuman dan pakaian yang lebih baik daripada biasa.  

Golongan fakir dan miskin menjadi kaya pada Aidilfitri atas sikap kemurahan golongan yang mampu.  

Pada hari raya, golongan kaya berkongsi kegembiraan dengan golongan fakir dan miskin. Sesungguhnya kasih sayang adalah antara tanda kesempurnaan iman.

No comments:

Post a Comment