Sunday, 18 December 2016

SYARAT MELAKUKAN KERJASAMA DENGAN BUKAN ISLAM

Setiap perjuang Islam wajib menyedari dan faham, bahawa ada dua aspek penting dalam perjalanan perjuangan Islam yang sangat mencabar. 

Gagalnya kita memahaminya, boleh menyebabkan ada kalangan yang kecundang atau tercicir di tengah jalan dalam perjalanan perjuangan ini, kerana tidak menghayatinya dengan betul.

Kedua-dua aspek tersebut iaitu akidah perjuangan dan pendekatan yang dilakukan. 
 
Kedua-dua aspek ini dilakukan oleh Rasulullah SAW bersama para sahabatnya yang setia bersamanya dengan petunjuk Allah daripada al-Quran, dalam semua keadaan.

Beristiqamah bersama akidah perjuangan Islam adalah sangat berbeza dengan perjuangan yang hanya bergantung kepada ideologi ciptaan manusia. 

Ianya menuntut kita tetap bersama Islam dengan keimanan kepada Allah dengan segala nama dan sifatnya yang mulia. Islam adalah benar, rahmat dan adil, dalam segala hukumnya yang wajib, sunat, makruh, haram dan harus. 

Percaya kepada janji Allah daripada dunia sehingga akhirat, walau pun perkara ghaib dan tidak dapat dicapai oleh akal dan panca indera. 

Perkara aqidah adalah tetap dan tidak berubah dan tidak boleh diubah; walau apapun dugaannya. 

Aspek ini menuntut kita beristiqamah melaksanakan pendekatan diIzinkan Allah. Halal dan haramnya adalah dengan cara diizinkan oleh Allah. Berhubungan dengan bukan Islam dan musuh dengan cara yang diizinkan Allah juga. 


Sirah Nabawiyyah melaporkan pendekatan Rasulullah SAW menerima perlindungan keluarganya yang dipimpin oleh Abu Tolib di atas semangat kekeluargaan tanpa menerima Islamnya.

Baginda menerima pembelaan salah seorang pemimpin kaumnya Mutim bin Adi yang menentang kezaliman walaupun dia bukan Islam.

Rasulullah meminta khidmat petunjuk jalan berhijrah ke Madinah daripada seorang bukan Islam bernama Abdullah bin Uraiqit.

Hakikatnya, apabila Abu Talib dan lain-lain menawarkan keamanan dengan meninggalkan akidah, Rasulullah tolak dengan keras. 

Begitu juga, apabila pemimpin Makkah menawarkan pertabalan menjadi raja yang berkuasa dan tawaran harta kekayaan dengan syarat meninggalkan akidah perjuangan maka ditolak dan bersedia untuk mati kerana mempertahan aqidah dan perjuangannya.

Sikap yang sama ditunjukkan oleh semua para sahabat ketika berada di Makkah, sehingga bersama melakukan Hijrah yang menghasilkan kejayaan.

Maka bersabdalah Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya semua amalan itu mestilah mengikut niatnya, dan setiap orang akan menerima ganjaran dan akibat mengikut niat masing-masing. Sesiapa yang melakukan hijrah kerana Allah dan Rasul, nescaya dia mendapat fadilat hijrah kerana Allah dan Rasul. Sesiapa yang niat hijrahnya kerana dunia, atau seperti kerana mengikut wanita yang hendak dinikahinya maka terimalah dia mengikut naitnya itu. 

Hadis ini adalah bersempena dengan peristiwa Hijrah dan menjadi dalil kepada semua amalan seseorang. 

Hijrah adalah pendekatan, wujudnya aspek “niat” adalah menunjukkan bahawa urusan hijrah ini mempunyai “akidahnya”. Allah melakukan penapisan dunia sebelum penapisan akhirat.

Apabila tegaknya negara di Madinah, Allah secara tegas menunjukkan jalan istiqamah di antara akidah dan pendekatan Rasulullah SAW dan para sahabatnya, dalam keadaan yang lebih mencabar dalam masyarakat majmuk berbagai agama, kaum dan sikap. Islam, bukan Islam dan munafik.

Allah berfirman yang bermaksud:  "Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. 

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. 

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

Ayat al-Quran tersebut bermaksud bahawa Allah menunjukkan kepada kita supaya berlaku baik kasih sayang terhadap seluruh manusia mengikut sempadannya. 


Maka Rasulullah SAW, menjalinkan segala pendekatan hubungan dengan kalangan bukan Islam, secara bertahaluf, berta’awun, berdamai, memaaf kesalahan dan lain-lain. 

Apabila berlakunya sikap bermusuh yang mahu merosakkan akidah maka dibatalkan segala bentuk hubungan. 

No comments:

Post a Comment