Banyak cara atau tindakan dilakukan pelbagai pihak untuk menjadikan Islam lemah dan seterusnya hilang kuasa. Pihak tidak puas hati dengan Melayu, sebenarnya turut mempersoalkan Islam. Mereka takut Melayu maju, kerana ini bermakna Islam maju dan kuat.
Justeru, mereka yang tidak ingin melihat Islam terus membangun, maka Melayu perlu dilemahkan.
Tuduhan kerajaan mengabaikan kaum lain kerana melebihkan bangsa Melayu adalah tidak benar. Hakikatnya, bangsa lain tidak pernah diabaikan hak mereka.
Sebenarnya, banyak cubaan dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu yang boleh memusnahkan rakyat dan negara.
Pelbagai tekanan, propaganda dan tuduhan buruk ditujukan kepada kerajaan dan rakyat.
Biarpun tidak ada ancaman berbentuk fizikal seperti tindakan ketenteraan dilakukan oleh pihak lain ke atas Malaysia , campur tangan dalam urusan politik, ekonomi dan hak kebebasan rakyat sering dilakukan.
Apa yang malang , tindakan tersebut mendapat sokongan sesetengah rakyat yang berkepentingan diri atau pihak tertentu sahaja.
Mereka rela menjadi petualang membelakangkan kepentingan negara asalkan impian mereka tercapai.
Dalam hal ini ada individu dan golongan terpengaruh dengan niat jahat pihak lain. Mereka menjadi musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan.
Tindakan dari rakyat sendiri lebih berbahaya daripada gangguan luar. Ini kerana pihak luar dengan lebih mudah mengeksplotasi keadaan sedemikian.
Namun kita patut bersyukur, tidak ramai rakyat terpengaruh. Seruan ke arah mendatangkan keburukan tidak mendapat sambutan.
Rakyat masih dapat membezakan di antara yang baik dan buruk. Rakyat lebih matang menilai sesuatu keadaan dan tindakan.
Dalam negara mempunyai rakyat majmuk, isu sensitif berkaitan kaum dan agama mudah mencetuskan keadaan gawat. Peristiwa 13 Mei menjadi iktibar kepada semua rakyat. Pengalaman tersebut banyak memberi pengajaran.
Oleh itu kerajaan dan rakyat sentiasa mencari formula untuk keamanan negara. Pelbagai pendekatan telah diperkenalkan untuk menghadapi sesuatu yang memungkinkan peristiwa seumpama itu berulang.
Hasilnya perpaduan di kalangan rakyata berbilang bangsa semakin kuat. Jika terdapat riak-riak keburukan wujud, ia cepat diselesaikan.
Kita ada formula yang jelas tentang soal-soal pokok berkaitan ketetapan, pendirian, matlamat dan tujuan yang memudahkan rujukan, pengawalan, dan penerusan usaha.
Apa yang diamalkan sekarang terhasil melalui proses evolusi mengikut acuan dan keperluan untuk Malaysia . Keadaan ini sukar dirosakkan selagi setiap rakyat memahami inspirasi negara.
Terbentuknya Malaysia dengan ikatan persaudaraan antara kaum. Tiada satu kaum yang boleh mengaku menguasai Malaysia secara bersendirian.
Berlainan bangsa dan asal keturunan bukan alasan berlainan cita-cita. Tidur tidak sebantal tetapi mimpi tetap sama. Impian seluruh rakyat Malaysia ingin melihat negara tercinta aman, makmur dan maju.
Semangat kecintaan terhadap negara menjadi paksi perjuangan. Rakyat berbilangan bangsa tetapi negara tetap satu. Tidak ada bangsa yang menjadi tuan diMalaysia . Semua bangsa sama taraf.
Kita akui perjalanan selepas kemerdekaan banyak liku dan durinya. Peranan dan tugas mengisi kemerdekaan lebih sukar daripada berusaha memperolehi kemerdekaan itu sendiri.
Manusia dijadikan berbangsa-bangsa agar boleh berkerjasama dan saling mengenali. Hakikatnya apa yang ada di negara kita adalah antara tanda-tanda kebesaran Allah. Justeru, kita perlu bersyukur dapat hidup dalam satu masyarakat berbilang kaum.
Firman Allah bermaksud: “Hai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu beberapa bangsa dan suku-suku bangsa, supaya kamu mengenal satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu dalam pandangan Allah ialah yang lebih bertakwa (memelihara diri dari kejahatan). Sesungguhnya Allah itu Maha Tahu dan Mengerti.” (Surah al-Hujurat, ayat 13).
No comments:
Post a Comment