Setiap masyarakat ada adat dan budaya sendiri dalam menyambut sesuatu perayaan, termasuk sambutan Aidilfitri atau Raya Puasa.
Di Malaysia, sambutannya bermula dari 1 Syawal hingga habis bulan Syawal dan ada yang berlanjutan hingga bulan berikutnya.
Biasanya kemeriahan hanya pada minggu pertama, tetapi ia masih disambut dengan cara membuat rumah terbuka pada hari-hari cuti seterusnya.
Bagi yang ingin melaksanakan ibadat puasa sunat 6 Syawal, mereka memilih hari yang sesuai agar tidak bertembung dengan sambutan yang ingin diadakan.
Biasanya tidak berdepan dengan masalah kerana mereka hanya perlu berpuasa enam hari daripada 30 hari sepanjang Syawal.
Itu budaya dan amalan rakyat di Malaysia. Di negara-negara Arab pula sambutan biasanya hanya untuk dua tiga hari awal Syawal saja. Lepas itu mereka menjalani kehidupan biasa seperti bulan-bulan lain.
Satu lagi ingin dicatatkan di sini ialah cara sambuatan Aidilfitri di kalangan orang Patani di Selatan Thai.
Biarpun kedudukan Patani tidak jauh dengan Malaysia dan kebanyakan penduduknya mempunyai hubungan persaudaraan dengan rakyat Malaysia atau sekurang-kurangnya pernah tinggal di Malaysia, mereka tidak terikut-ikut dengan apa yang diamalkan penduduk Malaysia.
Sambutan 1 Syawal kurang meriah di Patani. Ini kerana mereka lebih membesarkan sambutan 'Raya Puasa Enam'.
Sambutan Raya Puasa Enam disambut lebih meriah. Raya enam adalah raya terbesar bagi orang Patani. Ia dibuat sebagai pengganti dan penangguhan kepada raya puasa disebabkan puasa enam menyebabkan penduduk tidak sempat membuat jamuan dan keramaian pada hari raya kedua.
Orang Patani raya 1 Syawal dan 8 Syawal iaitu raya enam selepas berpuasa Sunat 6 hari Syawal.
Perayaan 8 Syawal bukan termasuk sambutan perayaan dalam Islam. Islam hanya menetapkan 1 Syawal dan 10 Zulhijjah sebagai hari raya.
Namun, tidak menyalahi jika disambut mana-mana hari selain dua hari tersebut, asalkan tidak mengaitkan ia sebagai perkara wajib dan disandarkan kepada sesuatu suruhan agama.
Perkara ini sama juga sambutan sebulan raya yang disambut oleh rakyat Malaysia.
Sekiranya ada yang anggap ini bidaah, tidak perlu diperdebatkan sebab ia adat dan bukan ibadat. Adat nak buat baik boleh dan buatlah banyak mana pun.
Setiap individu atau masyarakat mempunyai alasan tertentu dalam melakukan sesuatu perkara.
No comments:
Post a Comment