Taubat adalah tuntutan agama sesuai dengan status manusia yang tidak terlepas daripada melakukan dosa. Bertaubat wajib bagi setiap orang Islam. Taubat bertujuan menghapuskan dosa yang telah dilakukan secara sengaja mahupun tidak sengaja.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka dengan adanya dua sebab itu mereka diterima Allah taubatnya; dan ingatlah Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah an-Nisa, ayat 17)
Dan ingatlah, bahawa biapun taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa, tetapi ada batasan waktunya di mana ia tidak akan lagi diterima oleh Allah.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat, dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah an-Nisa, 18)
Sesungguhnya Allah mengetahui setiap apa yang dilakukan oleh manusia biarpun dilakukan secara sembunyi.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat hamba-Nya yang bertaubat serta memaafkan kejahatan mereka lakukan; dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.” (Surah ass-Syura, ayat 25)
Allah berjanji akan mengampunkan orang yang bertaubat dengan syarat ia mencukupi empat perkara, iaitu insaf dengan hati, meninggalkan perbuatan maksiat, berazam tidak mengulang perbuatan itu dan dilakukan dengan penuh keredaan kepada Allah.
Bersegeralah bertaubat apabila menyedari telah melakukan dosa. Allah tidak menerima taubat apabila saat nyawa telah berada di halkum atau terlalu hampir ia meninggalkan jasad.
Firaun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa ingin bertaubat pada saat kematiannya tetapi tidak lagi diterima oleh Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah akan menerima taubat seseorang hambanya selagi nyawanya tidak di halkum.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Menurut al-Syarawi, Allah akan menerima taubat seseorang selagi nyawanya tidak di halkum dan menjadi kewajipan seorang Muslim supaya segera bertaubat.
Orang Islam yang tidak sempat bertaubat akan menerima azab pedih berbeza dengan kematian bagi orang kafir yang akan menerima seksaan buat selama-lamanya. Orang Islam melakukan maksiat tanpa bertaubat akan menerima azab setimpal perbuatannya.
Menurut Sayyid Qutb, taubat selayaknya bagi Allah menerimanya adalah taubat yang lahir dari hati penuh keinsafan seolah-olah ia baru lahir semula dan menjadi insan yang lain.
Allah menyeru setiap Muslim segera bertaubat dengan firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang beriman bersama-sama dengannya.” (Surah at-Tahrim, ayat 8)
Ayat ini menjelaskan Allah sentiasa menyeru orang mukmin bertaubat dan perintah Allah dalam al-Quran menunjukkan wajib. Matlamat taubat adalah supaya diampunkan segala dosa terdahulu dan akhirnya dimasukkan ke dalam syurga.
Ibn Kathir menyebutkan taubat nasuha sebagai taubat yang benar ikhlas dan kebanyakan ulama menyebut sebagai taubat daripada dosa dan tidak lagi mengulangi perbuatan itu.
Al-Kalabi menyebutkan taubat nasuha beristighfar dengan lidah, insaf dengan hati dan mencegah dengan anggota badan.
Ulama mengatakan bertaubat adalah wajib sehinggakan anbia seperti Nabi Adam memohon keampunan daripada Allah. Oleh itu, kembali kepada Allah dengan bertaubat adalah satu tuntutan bagi setiap orang Islam sama ada kaya, miskin, raja atau rakyat.
Taubat bukan sekadar perkataan kerana taubat tidak disertai keinsafan di hati bukan taubat yang sebenar. Antara adab memohon keampunan Allah mestilah ikhlas, dalam keadaan bersih, mempunyai perasaan antara takut dan pengharapan, memilih waktu mustajab seperti pada waktu sahur.
Perkara ini disebut Allah dalam firman yang bermaksud: “Dan orang yang beristighfar dan memohon ampun pada waktu sahur.” (Surah Ali-Imran, ayat 17)
Antara adab memohon ampun ialah berdoa untuk mukmin yang lain. Ia tidak memohon ampun untuk dirinya saja tetapi untuk mukmin keseluruhannya.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami daripada orang yang rugi.” (Surah al-Araaf, ayat 24)
Seluruh masa kehidupan dunia yang singkat ini sebenarnya kesempatan terbaik bagi manusia untuk berbuat kebaikan sebanyak mungkin sebelum ajal menjemput.
Janganlah seseorang berasa aman kerana terlepas hukuman di dunia lantaran berbuat dosa, kerana hukuman itu tetap menanti dan akan diterimanya di akhirat.
Orang beriman sewajarnya menjadikan dunia yang sementara ini sebagai medan atau pentas untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dan menjauhi segala kelalaian serta perbuatan yang merugikan.
Banyakkan istighfar dan bertaubat kepada Allah SWT, persiapkan bekalan berupa amal baik kerana hanya cara itu dapat menyelamatkan manusia di padang mahsyar nanti.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Ingatlah hari Kami himpunkan orang yang bertakwa untuk menghadap Allah dengan berpasukan-pasukan. Dan Kami akan menghalau orang yang bersalah ke neraka jahanam dalam keadaan dahaga. Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian dengan iman dan amal salih di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya” (Surah Maryam, ayat 85-87).
No comments:
Post a Comment