Monday, 12 April 2021

Jazlan ni baguslah....

Sesiapa yang mendengar rakaman audio yand didakwa mirip suara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti akan mendengar suara menyebut. ‘Jazlan ni baguslah’. Untuk mengesahkan ucapan itu tidak perlu didengar 10 kali.... sekali sudah cukup kerana ia jelas.

Jazlan yang dimaksudkan itu ialah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, yang juga Ahli Parlimen Machang. Pada PAU 2020, Ahmad Jazlan merupakan pembahas terakhir.

Sesiapa yang mengenali atau pernah mendengar ucapan Ahmad Jazlan pasti kagum dengan cara beliau berpidato melontarkan pendapat dan maklumat. Padat dan sarat dengan hujah yang bernas dan penuh bersemangat. Sesiapa mendengarnya pasti tidak akan berasa bosan dan masa berlalu dirasakan terlalu cepat.

Penulis pernah mengikuti ucapan beliau dalam satu program selama empat jam secara terus menerus. Puas berdiri di rostrum, beliau akan berlegar-legar berjalan di atas pentas. Mungkin letih berdiri, beliau duduk seketika di kerusi dan sekali-sekali akan meneguk air kosong yang disediakan penganjur.

Sepanjang empat jam, suara beliau masih padu dan jelas. Tiada tanda-tanda sakit tekak atau gangguan suara.

Sepanjang empat jam itu jugalah, peserta program memberi penuh tumpuan. Tiada yang membuka telefon pintar. Tiada yang sengaja keluar ambil angin di luar dewan. Kalau adapun yang keluar kerana pergi ke tandas, itupun bilangan amat kecil, dan mereka akan cepat-cepat kembali ke dewan untuk terus mendengar ucapan Ahmad Jazlan, seperti amat rugi jika terlepas lama.

Sesiapa ada peluang mengikuti pidato Ahmad Jazlan, jangan lepaskan peluang itu.

No comments:

Post a Comment