Saturday, 26 June 2021

Zahid Hamidi lepas jawatan tidak selesaikan masalah

Kemelut dalaman politik UMNO hanya boleh diselesaikan jika Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan dan tidak mencampuri urusan kepimpinan tertinggi parti.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib berkata, pengunduran beliau sekali gus dapat meredakan perselisihan dalam kalangan ahli UMNO yang selama ini berbeza fahaman dengan Ahmad Zahid.

Itu satu pandangan. Pandangan lain pula mengatakan, kemelut dalaman politik UMNO tidak akan selesai biarpun Zahid Hamidi meletakkan jawatan.

Serangan terhadap Zahid Hamidi bukan kerana dia Zahid Hamidi, tetapi kerana dia adalah Presiden UMNO.

Sesiapa sahaja yang menjadi Presiden UMNO akan menjadi sasaran mereka yang tidak berpuas hati melihat UMNO terus kuat. Tidak kisahlah serangan itu dibuat oleh pemimpin dan ahli UMNO sendiri, mahupun dari luar.

Serangan dari luar, itu sudah dianggap ‘lojik’ kerana itulah dilakukan oleh musuh-musuh politik. Itu lumrah.

Persoalannya dan rasa terkilan ialah serangan dibuat oleh pemimpin dan ahli UMNO sendiri. Mereka ini adalah gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut.

Ahli UMNO perlu mempertahankan presiden, bukan menjadi anai-anai merosakkan tiang sehingga menjadi rebah.

Kalau hendak tukar presiden, tunggulah pemilihan parti diadakan. Sesiapa sahaja layak menawarkan diri untuk jawatan tersebut (mengikut peraturan ditetapkan) dan ahli boleh memilih siapa difikirkan layak.

Jangan gelojoh hendak tukar presiden, sebaliknya perbaiki diri sendiri untuk menjadi ahli yang lebih baik dan menyumbang bakti memperkasakan parti.

No comments:

Post a Comment