Saturday, 4 December 2021

AKTIVITI BERIADAH MENYIHATKAN BADAN

 
Bersukan, bersenam atau beriadah adalah cara atau satu keperluan untuk melahirkan individu kekal sihat, harmoni dan berinteraksi antara satu sama lain, selain dijadikan sebagai aktiviti masa senggang yang berfaedah. 

Biasanya apabila disebut bersukan, kita lebih fokus kepada jenis-jenis sukan untuk menyertai pertandingan.

Sedangkan bersukan untuk tujuan menyertai pertandingan sebenarnya hanya melibatkan sebilangan kecil mereka yang digelarkan ahli sukan, manakala matlamat sebenar bersukan atau beriadah adalah untuk menjaga kesihatan.     

Oleh sebab itu, lebih elok kita menyebut beriadah yang merujuk kepada aktiviti melakukan gerak badan, senaman atau segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan badan dan fikiran.

Kelancaran pengaliran darah ke seluruh badan amat penting bagi pengangkutan horman dan zat pemakanan.

Pengaliran darah yang ‘tersekat’ dan lemah akan mengakibatkan organ-organ badan tidak berfungsi dengan baik yang menyebabkan penyakit berbahaya berkaitan pengaliran darah. 

Pergerakan anggota badan dapat membantu jantung berfungsi dengan baik. Kesihatan jantung perlu dijaga kerana ia adalah ‘enjin’ kepada seluruh anggota badan.

Jika jantung tidak berfungsi dengan baik, maka seluruh anggota badan menghadapi masalah dan mengganggu kualiti hidup serta menyebabkan penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi, sakit buah pinggang, lemah jantung dan sesak nafas.

Aktiviti badan yang aktif meningkatkan kadar metabolisma badan dan pembakaran lemak yang dapat mengatasi masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Keadaan badan mengalami obesiti mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan, terutama menyebabkan penyakit kencing manis atau diabetes dan darah tinggi.

Selain itu, pengeluaran peluh ketika beriadah dapat membantu proses pengeluaran bahan beracun seperti asid daripada badan.

Banyak unsur kimia berbahaya tidak dapat dikeluarkan melalui air kencing dan najis, sebaliknya hanya secara pelepasan air peluh.

Oleh sebab itu kerajaan melancarkan program sukan untuk semua dan gaya hidup sihat. Untuk mengekalkan tahap kecergasan, setiap orang perlu bersukan setiap hari atau sekurang-kurangnya selama 20 minit setiap kali sebanyak tiga kali seminggu.

No comments:

Post a Comment