Tuesday, 4 January 2022

STESEN HIDROELEKTRIK SULTAN ISMAIL PETRA

 
Empangan Pergau terletak di jajahan Jeli, Kelantan. Pembinaan empangan ini mula dicadangkan pada 1960. Sejak itu kajian mengenai keberkesanan terhadap penjanaan kuasa elektrik, alam sekitar, ekosistem dan penduduk sekitar dijalankan.

Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada tahun 1994 dan disiapkan pada tahun 2000. Empangan ini memulakan operasi pada tahun 2003 dan dirasmikan pada 2003 oleh Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra.

Stesen jana kuasa elektrik yang dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad ini dinamakan Stesen Janaelektrik Sultan Ismail Petra. 

Namun, di kalangan orang ramai ia lebih dikenali sebagai Stesen Janaelektrik Pergau mengambil nama Empangan Pergau.  

Stesen kuasa ini adalah stesen hidroelektrik, dengan 4 turbin dengan keupayaan 150 MW sebuah berjumlah 600 MW.

Kontrektor utama projek ini ialah Kerjaya Balfour Beatty Cementation. Balfour Beatty ialah sebuah syarikat pembinaan yang berpengkalan di England yang mempunyai pengalaman luas membina empangan hidro di seluruh dunia.

Saiz empangannya sangat kecil dan tidak memerlukan kawasan yang sangat luas tetapi kuasa penjanaannya sangat tinggi kerana stesen hidro ini menggunakan sistem terowong.

Itulah sebabnya kos pembinaan jenis empangan hidro seperti ini sangat mahal berbanding empangan biasa.

Selain itu, dalam dunia tidak banyak kontraktor yang mempunyai kepakaran membinanya.

Luas takungan Empangan Pergau sekitar 4.5 kilomter persegi. Keluasan tersebut amat kecil jika dibandingkan dengan keluasan Empangan Kenyir seluas 3000 kilometer persegi, Empangan Banding atau Empangan Temengor (200 kilometer persegi) dan Empangan Bakun mempunyai keluasan 700 kilometer persegi.

Biarpun keluasan takungan air Empangan Pergau sedikit, jumlah tenaga yang dihasil melalui jana kuasa elektrik adalah paling besar iaitu sebanyak 600 MW, berbanding Stesen Janaelektrik Kenyir 400 MW dan Stesen Janaelektrik Temengor 320 MW.

Penghasilan tenaga elektrik di Pergau tinggi adalah kerana operasinya menggunakan sistem terowong yang memberi tekanan lebih tinggi terhadap turbin yang mampu menghasilkan lebih banyak tenaga. 



No comments:

Post a Comment