Saturday, 5 November 2022

STATISTIK CALON PRU-15 MENGIKUT PARTI

 
Ketika pada awalnya banyak parti tidak setuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir, bilangan calon yang terlibat bertambah berbanding Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14). Seramai 945 calon bakal bertanding di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara pada PRU15 berbanding seramai 687 calon pada PRU14. Bahkan, parti yang beriya-iya membantah PRU musim hujan, rupanya paling banyak meletakkan calon.

Berdasarkan 'dashboard' Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon teramai iaitu 206, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 178 calon; Perikatan Nasional (PN) (149) dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bakal mempertandingkan 116 calon.

Parti Warisan Sabah (WARISAN) meletakkan 52 calon manakala seramai 31 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanding kali ini.

Turut tersenarai adalah 22 calon PAS yang bertanding di Kelantan dan Terengganu serta 13 calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula meletakkan enam calon iaitu dua di Johor dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Sabah.
Pada masa sama, seramai 108 calon Bebas bakal bertanding kali ini berbanding hanya 24 pada PRU14, dengan bilangan teramai adalah di Selangor dengan 24 calon, diikuti 20 calon Bebas yang layak bertanding di Sabah.

Selangor bakal menyaksikan calon paling ramai bertanding dalam PRU15 iaitu seramai 124 calon diikuti Sabah dengan 119 calon dan 100 calon di Perak layak berentap di 71 kawasan Parlimen di ketiga-tiga negeri terbabit.

No comments:

Post a Comment