Monday, 17 October 2022

8 remaja ditahan kes rogol berkumpulan pelajar Tingkatan Dua

 
Sebuah akhbar melalui siaran dalam talian melaporkan lapan remaja ditahan selepas disyaki merogol seorang pelajar Tingkatan Dua secara berkumpulan di Tawang, Bachok Kelantan.

Suspek berusia antara 14 hingga 18 tahun itu ditahan polis selepas laporan berkait kes rogol membabitkan mangsa berusia 14 tahun 11 bulan diterima.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan (KK).

Kes tersebut satu bukti apa yang diusahakan oleh Kerajaan Kelantan membendung kes moral remaja di negeri berkenaan gagal. Selama 32 tahun memerintah Kelantan dengan slogan ‘Membangun Bersama Islam’ tidak mencapai hasil seperti diharapkan.

Masalah sosial dalam kalangan remaja Kelantan semakin meruncing, dengan 197 orang ditahan polis sepanjang tahun 2021 kerana terbabit kes rogol, sumbang mahram dan penyalahgunaan dadah.

Daripada jumlah itu, 100 remaja ditangkap kerana kes rogol dan sumbang mahram yang jumlahnya meningkat 19 peratus berbanding tahun 2020 (84 orang).

Seramai 97 remaja pula terbabit penyalahgunaan dadah.

Gejala sosial remaja di Kelantan berada pada tahap serius dan ini dapat dilihat daripada statistik terkini di mana berlaku peningkatan penglibatan golongan ini khususnya, dalam kes-kes rogol dan sumbang mahram.

Remaja pada usia 10 hingga 18 tahun berada pada fasa perkembangan ke alam dewasa dan peralihan daripada zaman kanak-kanak menimbulkan sikap ingin mencuba, selain alami perubahan lain termasuk fizikal, jasmani, sosial dan emosi.

Disebabkan itu, remaja perlu dibantu agar tidak hanyut dan gagal mengurus kehidupan dengan baik. Hal ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana remaja merupakan tonggak dalam menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang.

Justeru, semua pihak perlu memberi fokus menangani kes seksual dan gejala sosial membabitkan remaja yang agak kritikal di negeri itu ketika ini.

No comments:

Post a Comment