Friday, 20 January 2023

MELAKUKAN TUGAS DAKWAH DENGAN BERHEMAH

 
Melakukan tugas dakwah perlu berhemah, bijaksana dan bersabar. Cara ini akan memudahkan usaha mengajak orang lain melakukan kebaikan. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan peringatan yang baik dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka dengan baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)
 
Menggunakan perkataan baik, berbudi bahasa dan menghormati pihak yang didakwah adalah satu pendekatan yang baik. Sampaikan dakwah itu dengan kata-kata yang lembut dan menyenangkan hati. 
 
Firman Allah SWT dalam surah Fushshilat ayat 33 memberi panduan bagi mereka yang ingin melakukan kerja-kerja dakwah yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah serta berbaik-baik dan mengaku ‘aku seorang Muslim.”
 
Justeru, amatlah bersalahan dengan apa yang disuruh oleh Allah SWT apabila golongan yang menolak dakwah dipulau dan dipisahkan daripada masyarakat.   
 
Seseorang yang diseru melakukan kebaikan, tetapi masih enggan menerimanya bukan menjadi ‘beban’ pendakwah. Tugas menyampaikan risalah Allah telah dilakukan, tinggal lagi tidak berjaya seperti diharapkan.
 
Allah SWT telah menjelaskan bahawa urusan memberi hidayah kepada seseorang bukan di tangan manusia. Rasulullah SAW sendiri berdepan dengan kesukaran ketika berdakwah di Makkah. Tidak banyak yang menerima Islam sebagai cara hidup biarpun Rasulullah SAW telah melakukan pelbagai usaha.
 
Seseorang pendakwah tidak boleh mudah putus asa. Sekeras-keras hati manusia akan tiba masanya menjadi lembut dan menerima apa yang didakwahkan kepadanya.
 
Rasulullah SAW memberi ingatan agar pendakwah sentiasa berhati-hati dalam menyentuh maruah, perasaan dan kepentingan orang yang ingin disampaikan risalah Allah. Kehadiran pendakwah jangan sampai dianggap musuh oleh orang yang didakwah. 

No comments:

Post a Comment