Monday, 27 March 2023

SATE BAUNG PILIHAN PENDUDUK KELANTAN

 
Jika di Selangor ada Sate Kajang, di Kelantan pula terkenal dengan Sate Baung. Nama Sate Baung adalah mengambil nama tempat ia mula diperkenalkan iaitu Kampung Baung. Kampung Baung terletak di Daerah Panji, Jajahan Kota Bharu. Kampung Baung diambil dari nama sebatang sungai yang merentasi kampung tersebut iaitu Sungai Baung.
 
Sate Baung terkenal di negeri Kelantan kerana keenakan kuah serta dagingnya yang empuk, menjadikan ia juadah istimewa, yang wajib dinikmati pada hari pertama sambutan Aidilfitri di Kelantan.
 
Keenakannya membuatkan ia bukan saja terkenal di Kelantan, malah pernah diterbangkan ke Jepun, Australia dan New Zealand, demi memenuhi cita rasa pelanggan setia.
 
Sate Baung boleh dihantar merentasi sempadan negeri dan negara kerana daging dan kuahnya mampu bertahan sehingga tiga minggu, selepas dibakar hingga masak dan disimpan secara sejuk beku.
 
Jenama Sate Baung bukan terhad kepada satu pengeluar sahaja, tetapi kini sudah menjadi satu jenama umum yang digunakan oleh banyak pengusaha sate di Kampung Baung dan tempat-tempat lain di seluruh Kelantan.
 
Sate Baung paling mendapat sambutan pada setiap sambutan Aidilfitri dan Aidiladha sehingga tempahan perlu dibuat awal. Pengusaha sate sudah membuat persediaan untuk memenuhi tempahan dua atau sebulan sebelum tarikh diperlukan.
 
Jenama Sate Baung mula dikenali sejak lebih 20 tahun lalu. Sejak ia semakin dikenali biarpun diusahakan oleh beberapa individu berlainan. Mereka mengekalkan identiti Sate Baung, terutama cita rasa dan kualiti.
 

No comments:

Post a Comment