Saturday, 8 April 2023

PERANGKAP FITNAH HANCURKAN NEGARA

  
Dalam konteks mencegah perbuatan buruk daripada berlaku, ia mesti dilakukan dengan berhati-hati. Kita mempunyai banyak saluran yang boleh dilaporkan terus kepada agensi penguatkuasa agar diambil tindakan pencegahan.

Tindakan menyebarkan berita melalui laman sosial dan medium lain mesti dihentikan kerana belum pasti kesahihannya. Islam menegah kita menyebarkan berita yang mendatangkan aib orang lain, sungguhpun ia perkara yang benar.
 
Perangkap fitnah amat berbahaya. Banyak individu menanggung penderitaan dan kerugian akibat bencana fitnah. Masyarakat yang penuh dengan budaya fitnah berada di ambang kemusnahan. 
 
Justeru, individu Muslim mesti menjauhkan diri daripada kancah hina fitnah. Jauhkan diri dari menjadi pencipta, penyebar dan orang mempercayai fitnah. Ketiga-tiga perbuatan itu saling berkait yang menjadi punca mengapa budaya fitnah merebak dalam masyarakat.
 
Fitnah tidak akan wujud jika tidak ada penciptanya. Pun begitu, fitnah tidak akan tersebar jika tidak ada individu yang menyebarnya. Dalam hal ini, pencipta dan penyebar mungkin boleh jadi orang yang sama. 
 
Individu yang menpercayai fitnah juga memainkan peranan besar menyebabkan fitnah tersebar. Ini kerana mereka bukan setakat mempercayainya, tetapi juga menyebarkan kepada orang lain. Jika tidak ada orang mempercayai fitnah, ia tidak akan tersebar, biarpun ada yang mencipta fitnah.
 
Fitnah ialah tuduhan melalui cerita, khabar atau kisah yang diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan terhadap seseorang, keluarga atau kumpulan. Perkataan fitnah berasal perkataan Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.  
 
Perbuatan fitnah dilakukan sama ada secara perkataan jelas, perli, perumpamaan atau sindiran. Asalkan perkataan yang diucapkan difahami atau membawa erti tertentu, ia termasuk dalam kategori fitnah.
 
Melakukan fitnah adalah salah satu penyakit hati yang lahir akibat hati kotor yang tertutup daripada sinar keimanan. Perbuatan itu dilakukan biarpun menyedari betapa buruk kesan perbuatan itu. 
 
Semakin banyak fitnah disebar, hati menjadi kotor. Hati yang kotor akan mendorong melakukan perbuatan buruk lain seperti menipu, rasuah, mengumpat dan sebagainya. Sebab itu amat penting kita menjaga kebersihan hati. 
 
Semakin banyak keburukan dilakukan, hati menjadi terus menjadi keras dan tertutup daripada sinar kebenaran. Untuk membersihkan hati dan meninggalkan perbuatan dusta, hendaklah memperbanyakkan taubat.
 
Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik hitam, kiranya ia bertaubat akan terhakis titik hitam itu dari hatinya. Jika ia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak sehingga hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).
 
Hindarkan diri daripada menjadi pencipta fitnah, menyebarnya, mempercayai dan bersubahat dengan ketiga-tiganya. Kejayaan misi fitnah banyak disokong oleh penyebar dan ada individu yang mempercayainya. Muslim ditegah terlibat menjayakan perbuatan mendatangkan keburukan.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Bertolong-tolonglah kamu di atas perkara kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu bertolong-tolong dalam perkara kejahatan dan permusuhan.” (Surah al-Maidah, ayat 2).
 
Jelas di sini, kita tidak boleh membantu dalam perkara keburukan. Malah, menjadi tugas setiap individu mencegah perkara mungkar daripada terus merebak. Individu membantu melakukan perbuatan buruk turut mendapat dosa seperti individu utama yang memulakan fitnah.
 
Sesungguhnya, kesan buruk akibat fitnah lebih besar daripada membunuh. Perbandingan itu perlu dipandang serius. Ini jelas kerana membunuh sekadar dosa terhadap satu nyawa, sedangkan fitnah boleh memberi kesan kepada banyak orang.  
 
Oleh itu, setiap Muslim mesti berwaspada agar tidak dijangkiti penyakit fitnah. Kesan fitnah ditanggung oleh orang difitnah, serta melibatkan sama seisi keluarga dan merebak dalam masyarakat.

Gambar colek sekadar hiasan. 

No comments:

Post a Comment