Sunday, 2 February 2025

MARAH BERPUNCA HILANG SABAR

Marah adalah satu emosi yang menyampaikan luahan dan perasaan terhadap situasi tidak disukainya serta mengancam kesabaran individu berkenaan.
 
Ia merupakan emosi semula jadi yang bersifat negatif dan kebiasaannya bermula daripada sedikit keresahan hingga menjadi ganas dan tidak terkawal.
 
Jika individu itu mendapati dirinya mempunyai gejala kemarahan yang kerap atau tidak dapat menguruskan kemarahan, berkemungkinan itu isyarat anda memiliki sikap mudah marah.
 
Perasaan marah mencetuskan isu dalam perhubungan sosial. Banyak keburukan apabila kerap atau mudah berada dalam keadaan marah.
 
Sikap mudah marah boleh mencetuskan konflik dengan pasangan atau rakan sekerja. Keadaan tersebut boleh berlanjutan kepada jangka masa lama.
 
Kajian menunjukkan sering marah boleh menggalakkan kepada gaya hidup tidak sihat seperti merokok, pengambilan kafein dan aklohol berlebihan serta makan makanan tinggi kalori.
 
Isu psikologi yang popular ialah kemurungan, keresahan, kesedihan, keletihan dan kurang berminat terhadap aktiviti yang dilakukan sebelum ini.
 
Jauhi sikap marah kerana amat besar manfaatnya. Sebab itu, Rasulullah SAW apabila ada sahabat ingin mendapat wasiat atau sesuatu pesanan yang membawa kebaikan, maka baginda mengatakan ringkas “jangan marah”.
 
Larangan ini telah diulang oleh baginda nabi beberapa kali. Di dalam sebuah hadis: seorang lelaki berkata kepada Nabi, "Berilah aku wasiat?" Lalu baginda bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu marah." Lelaki itu mengulangi kata-katanya, baginda tetap bersabda, "Janganlah kamu marah." – (Hadis riwayat Bukhari)
 
Jika sukar untuk mengawal perasaan marah, jauhkan diri daripada situasi atau tempat yang boleh menyebabkan marah.

No comments:

Post a Comment