Monday, 5 May 2025

BUAH KERIANG DOT

 
Pokok keriang dot merupakan sejenis pokok saka berkayu yang tumbuh tinggi. Nama lain bagi keriang dot ialah pokok jambu arang atau jambu hitam. Keriang dot juga dipanggil jamblang, jambang, jambe kleng, jambu kling dan jambu kalang.
 
Nama botani keriang dot ialah Euginia claviflora. Berbeza dengan kerian kecik (Euginia cuminii) yang berbentuk bulat, buah keriang dot berbentuk bujur dan saiznya lebih besar.
 
Buahnya mempunyai air yang banyak berwarna ungu gelap dan meninggalkan kesan jika terkena pada baju.
 
Pokok keriang dot semakin sukar ditemui kini. Ia sudah dikategorikan sebagai pokok nadir. Pokok ini dianggap tidak mempunyai nilai komersial, maka ia ditebang, biarpun sebenarnya buahnya boleh dimakan dan diminati ramai pada masa dahulu.
 
Keriang dot berbunga merah jambu atau merah. Buah ungu merah sehingga hitam, bujur atau berbentuk pasu panjang.

Pokok keriang dot hanya berbuah sekali dalam setahun sekitar bulan Mei hingga Jun dan buahnya akan bertukar menjadi warna hitam apabila benar-benar masak serta meninggalkan kesan berwarna hitam pada lidah apabila dimakan. 
 
Buah ini mempunyai rasa sedikit kelat namun manis apabila benar-benar masak dan kaya dengan khasiat daripada segi perubatan.

Apa yang menarik mengenai buah ini ialah gugusan buah keriang yang masak kelihatan sama dengan buah anggur. Dari segi khasiat perubatan, ia membantu mengurangkan kadar gula dalam darah bagi pesakit kencing manis. 
 
Selain itu, biji buah keriang dot juga boleh dikeringkan, ditumbuk dan dibancuh dengan air panas untuk diminum.
 
Khasiat lain buat keriang dot ialah mengatasi masaalah cacing kerawit dengan cara makan dengan bijinya sekali, sebab kekelatan pada bijinya akan membawa cacing- cacing dalam perut keluar dengan sendirinya.
 
Memakan buah keriang dot juga dapat membantu merapatkan dan membetulkan peranakan dan boleh mengempiskan perut yang buncit. Ia juga mampu menyuburkan kesuburan pada lelaki dan menguatkan tenaga batin.

Ia juga mampu melawaskan atau membantu proses penghadaman, mencuci buah pinggang agar membolehkan protin kembali ke dalam salur darah dan memperbaiki sistem dalam buah pinggang.
 
Daun keriang dot juga ada kegunaannya dalam perawatan. Daun kerian dot digunakan untuk mengurangkan kesan panas deman dengan cara daun diramas di dalam air hingga hancur. Ambil adunan itu diletakkan di dahi dan kepala.
 
Daun keriang dot juga digunakan sebagai sebahagian ramuan untuk mandian orang bersalin dan digunakan sebagai pelapik atau penebat semasa bertungku.

No comments:

Post a Comment