Sunday, 24 September 2017

PINTU GERBANG KOTA ISMAIL PETRA

Kota Sultan Ismail Petra merupakan kawasan tumpuan utama pelancong di Kota Bharu. Ia menjadi identiti atau mercu tanda bandar Kota Bharu. 

Kawasan kota tersebut turut dikenali Dataran Rehal. Namun di kalangan penduduk Kelantan ia lebih dikenali sebagai Pintu Gerbang.

Kota Ismail Petra sebenarnya pintu gerbang dan ting konkrit yang membentuk 'kota' bagi kawasan sekeliling. Ia tidak seperti gambaran sebenar sebuah kota yang di sekelilingnya terdapat tembok atau benteng.

Kawasan sekitar atau berhampiran Kota Ismail Petra diiystiharkan sebagai 'Kota Budaya' yang mengandungi pelbagai monumen bersejarah seperti Padang Merdeka, Bank Pitis, Bank Kerapu, Masjid Muhammadi, Istana Batu, Istana Jahar dan Istana Balai Besar.

Selain monumen bersejarah, berhampiran kawasan itu juga terdapat tempat tarikan seperti Kampung Kraftangan, Bazar Buluh Kubu, Pasar Siti Khadijah, Bazar Tengku Anis dan Menara Tambatan Di Raja.

Jadi, tidak hairan jika Kota Ismail Petra menjadi tumpuan pengunjung ke Kelantan, khususnya Kota Bharu.

PINTU GERBANG MEDAN ILMU

Pembinaan Pintu Gerbang Medan Ilmu Tok Guru di Jalan Datuk Pati menjadi mercu tanda di bandar Kota Bharu.

Pintu gerbang itu dibina dengan kos RM400,000 peruntukkan kerajaan negeri dan dilaksanakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Ia siap dibina pada Mac 2017 dan dirasmikan Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan pada 23 Sept 2017.  

Medan Ilmu sinonim dengan tempat ceramah setiap pagi Jumaat. Ia bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk tempatan bahkan masyarakat dari luar negara juga turut mengunjungi medan.

Ilham pembinaan pintu gerbang berwarna putih dan keemasan itu diambil bersempena dengan sebuah tempat pengajian ilmu agama di India.

Friday, 15 September 2017

FAKTOR KEJAYAAN CINA BERNIAGA

Faktor kejayaan perniagaan orang Cina antara lain berdasarkan seni niaga orang Cina yang diamalkan yang mana tidak menjadi satu perkara yang memalukan jika seseorang itu mengalah sekiranya dengan berbuat demikian dia akan mendapat peluang yang lebih baik. Mengalah tidak bererti kalah, tetapi satu strategi untuk lebih maju.

Peniaga perlu ada rasa ‘sensitif’. Perasaan itu dapat membantu peniaga mengesan sebarang bentuk perubahan yang berlaku. Orang yang ada elemen sensitif ini dapat menghidu peluang dan menukarkan keadaan yang buruk kepada situasi yang menguntungkan.

Peniaga sepatutnya mendapatkan seberapa ramai kawan, bukan musuh yang dicari. Tidak perlu kita mengata orang lain atau cuba cabar mencabar. Cukuplah dengan mencabar diri sendiri untuk melakukan perkara lebh baik. Mereka yang suka berlawan, berkelahi dan mencetuskan konflik tidak sesuai menjadi peniaga.

Peniaga Cina suka menggunakan ahli keluarga sendiri bagi membantu urusan perniagaan mereka. Bagi mereka, lebih baik mengupah orang yang mereka kenal dan mempunyai pertalian daripada mengambil orang luar. Kesetiaan ahli keluarga lebih kekal lama dan saling membantu.

Bagi mengikat kesetiaan para pekerja, setiap majikan perlu melayan pekerja seperti ahli keluarganya sendiri. Majikan tidak boleh terlalu berkira dengan pekerjanya. Rezeki yang diperoleh mungkin melalui rahmat yang diberikan melalui pekerja.

Orang Cina akan rasa rendah diri jika mereka gagal hidup berdikari dan hanya makan gaji sepanjang hayat. Selagi seseorang itu bekerja makan gaji, selama itulah dia tidak boleh menjadi kaya dan meningkatkan kedudukan sosialnya.

Orang Cina tak takut dengan kegagalan dan kerugian. Bagi orang Cina, tanpa rugi tidak mungkin akan datang untung. Orang Cina juga jarang memandang rendah kepada mereka yang gagal dalam perniagaan.

Peniaga Cina tidak bersikap boros. Peniaga baru perlu secara sederhana. Jangan suka menunjuk-nunjuk kerana ia adalah sikap yang tidak memberikan keuntungan. Tidak ada gunanya mempunyai premis perniagaan yang cantik, kereta mewah dan berpakaian seperti tokoh korporat besar jika perniagaan lingkup separuh jalan.

Rezeki yang diperoleh hari ini perlu disimpan untuk meneruskan perniagaan hari esok. Membelanjakan sebahagian besar keuntungan akan menyebabkan tidak mampu meneruskan perniagaan jika berlaku sedikit kerugian pada masa hadapan.