Fitnah ialah tuduhan melalui cerita, khabar atau kisah yang direka-reka, diada-adakan
atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan terhadap seseorang, keluarga atau
kumpulan. Perkataan fitnah berasal perkataan Arab bermaksud kekacauan,
bencana, cubaan dan penyesatan.
Dalam era teknologi maklumat mudah disebar fitnah. Alat yang dicipta
telah disalahguna untuk keburukan. Penyebaran fitnah mudah disebarkan
melalui alat komunikasi tanpa perlu berdepan dengan orang disebarkan
berita. Malah identiti penyebar juga boleh dirahsiakan.
Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburuk-burukan individu atau
kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan tersebut dapat menonjolkan dirinya
sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang difitnahkan.
Kita ditegah mencari keburukan orang lain untuk kebaikan diri
sendiri. Sebaliknya, lakukan usaha sendiri secara betul untuk mendapat
apa dihajati. Lihat dalam diri sendiri mencari kekuatan dan kelemahan
diri.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki
dan melihat keaiban diri sendiri.” - (Hadis riwayat Muslim).
Jika kita gagal melakukan sesuatu jangan dipersalahkan kepada orang
lain. Menyalahkan orang lain tidak menyelesaikan masalah. Malah,
masalah menjadi semakin kusut apabila saling tuduh
menuduh.
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru,
dosa fitnah tidak diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnahkan
memberi keampunan.
Kita fikirkan betapa sukarnya menemui setiap orang yang diumpat bagi memohon
maaf. Betapa besarnya dosa jika fitnah itu ditujukan kepada kelompok orang
ramai.
Dosa fitnah tidak diampunkan biarpun telah bertaubat. Jadi
berhati-hati apabila bercakap agar tidak terlanjur melakukan fitnah. Jika
terlepas cakap, lebih baik mengaku kesalahan itu. Mudah-mudahan orang
difitnah secara lepas cakap itu memaafnya.
Dosa membuat fitnah menghalang seseorang daripada memasuki syurga. Sabda
Rasulullah bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” -
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang menyebarkan fitnah dibangkitkan di akhirat di mana dirinya akan
diberikan malu oleh Allah. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa
yang menyebarkan satu kata-kata yang memalukan seorang Muslim dengan tidak
sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari
kiamat” - (Hadis riwayat Ibn Abid Dunya dari Abu Zar).
No comments:
Post a Comment