Usaha membanteras perjudian menghadapi jalan sukar selagi ada manusia ingin mendapat kekayaan dengan cara mudah. Mereka menggunakan pelbagai medium untuk dijadikan penentu kepada sesuatu menang kalah dalam sesuatu pertaruhan yang dibuat.
Perlawanan bola sepak tidak terkecuali dijadikan medan perjudian. Bookie atau pihak yang mengatur keputusan pertandingan telah menggunakan pemain untuk memastikan keputusan pertandingan adalah seperti yang telah ditetapkan. Tindakan itu mencemar imej bola sepak sebagai sukan paling diminati.
Keputusan pertandingan bola sepak hanya sebahagian kaedah pertaruhan yang digunakan oleh kaki judi. Hakikatnya, semua perbuatan yang ada unsur pertaruhan untuk mendapat keuntungan besar yang bergantung kepada untung nasib adalah judi.
Perjudian diharamkan kerana ia lebih banyak mendatangkan keburukan kepada manusia.
Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa besar (mudarat) dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219).
Kaki judi mengalami kehidupan yang tidak tenteram, terutama
apabila mengalami kekalahan teruk. Akibat keadaan itu, banyak berlaku
pergaduhan di kalangan kaji judi hingga berlaku pembunuhan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 91 bermaksud:
“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan
kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu
daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu
berhenti (daripada melakukannya).”
Orang yang memakan hasil haram akan menyebabkan hatinya
sentiasa kegelapan. Hidayah daripada Allah SWT tidak dapat memasuki hati yang
digelapkan oleh zat makanan haram. Ibadat dan doanya juga tidak diterima Allah
SWT. Kehidupan menjadi semakin jauh daripada rahmat Allah SWT dan semakin
sesat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak baik
(subur) daging yang tumbuh dari usaha haram, melainkan neraka lebih patut
baginya" (Hadis riwayat Tirmizi)

No comments:
Post a Comment