Saturday, 3 June 2017

Ikhlas Amanah Laksana Tugas

Pejawat agensi di bawah Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM) diingatkan agar mengutamakan keikhlasan dalam melaksanakan tugas diamanahkan.  Perlaksanaan tugas dengan ikhlas dan amanah bukan saja beri impak kepada penghasilan terbaik kepada organisasi dan rakyat, tetapi lebih penting keberkatan rezeki dibawa pulang untuk diri dan keluarga.

Demikian nasihat Ketua Setiausaha KKMM Datuk Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad ketika berucap di Majlis Perjumpaan Khas & Iftar Ramadan Bersama Asnaf dan Warga KKMM Negeri Kelantan bertempat di Anjung Seni, RTM Negeri Kelantan.

Majlis turut dihadiri  Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, Azhar Ismail, Pengarah JASA Negeri Kelantan, Hishamuddin Ab Rashid, Pemangku Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, Nik Azizah Raja Abdullah, Pengarah FINAS Wilayah Timur, Hairudin Tumiran dan Ketua Biro BERNAMA Kelantan, Bakri Darus, serta 175 kakitangan agensi di bawah KKMM.

"Utamakan masa yang kita miliki kerana sedetik masa berlalu tidak akan berulang lagi", ucap Sharifah Zarah mengingatkan tentang amanah masa dan tanggungjawab perlu dilakukan sepanjang melaksanakan tugsa.

Tambahnya, masa mengingatkan kita tentang apa telah dilakukan sebelum itu.  Justeru jangan ia dipandang mudah kerana ia berkaitan dengan tanggunjawab dan bakal dipesoalkan di akhirat kelak.

"Hargai amanah yang kita pikul dan hargai orang di sekeliling kita selagi kita berpeluang untuk berkhidmat serta melakukan sesuatu yang bermakna dalam hidup ini," tambahnya.

Ujarnya lagi, pemimpin perlu tegas memastikan orang dipimpinnya melaksanakan amanah.  Perkara ini perlu diulang-ulang agar sebati dalam budaya kerja yang dilakukan. 

"Saya bukan bengis, tetapi tegas dalam memastikan setiap perkara berkaitan tugas dan kepentingan kakitangan dan rakyat terjaga," tegasnya lagi.

Pada majlis sama seramai 30 orang asnaf menerima sumbangan disampaikan Sharifah Zarah.  Beliau juga mengambil peluang untuk beramah mesra dengan tetamu yang hadir.

No comments:

Post a Comment