Tuesday, 6 June 2017

HEBAT SAMBUTAN MAKAN COLEK

Makan colek, antara aktiviti paling popular bagi masyarakat di Kelantan pada bulan Ramadan. Colek biasanya dimakan selepas umat Islam selesai menunaikan solat terawih mereka. Makan colek sering dijadikan program untuk bersama ahli keluarga, sesama rakan, persatuan, NGO dan wadah untuk pemimpin politik mendekati pengundi.  

Kebiasaannya colek mengandungi campuran ayam goreng, organ-organ dalaman lembu seperti paru-paru, hati, limpa, makanan laut seperti kerang, sotong, udang, buah-buahan dan sayur-sayuran, serta keropok dan dicampur dengan sos istimewa. 

Colek merupakan hidangan makanan ringan kegemaran masyarakat di Kelantan setiap kali tibanya bulan puasa. Terdapat banyak restoran di Kelantan terutama sekitar Kota Bharu menyediakan hidangan colek ini pada sepanjang bulan Ramadan.

Disebabkan sambutan hangat, banyak restoran yang pada hari biasa menjual pelbagai jenis makanan harian, akan menukar menu hanya menjual colek pada bulan Ramadan.

Bahkan, ada restoran yang tidak mendapat sambutan pada bulan biasa menjadi begitu terkenal pada bulan Ramadan semata-mata kerana colek hingga tidak cukup ruang untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Begitu hebat sekali sambutan colek di Kelantan yang menjadi satu budaya makan yang paling unik dan dirindui perantau yang tinggal di luar Kelantan. Mereka akan cuba kembali ke Kelantan lebih awal bagi memastikan tidak terlepas peluang menyerti 'pesta colek'.

No comments:

Post a Comment