Tuesday, 17 December 2019

KETUPAT NASI SEBAGAI BEKAL PENGGEMBARA


Ketupat adalah nasi atau pulut yang dimasak di dalam sarang daun kelapa atau palas yang dianyam. Namun terdapat beberapa nama ketupat mengikut negeri.

Kalau di Kelantan, 'ketupat' lebih merujuk kepada 'ketupat palas' iaitu pulut yang telah masak dimasukkan ke  dalam sarung diperbuat daripada daun palas sebelum direbus semula.

Manakala 'ketupat' yang lebih dikenali di luar Kelantan pula dipanggil 'ketupat nasi'. Ketupat nasi dihasilkan dengan cara memasukkan beras ke dalam sarang yang dianyam menggunakan daun puncuk kelapa masih muda dan kemudian dimasak selama empat hingga enam jam agar betul-betul masak.

Setelah masak, ketupat nasi tidak dibiarkan terus direndamkan di dalam air. Ia perlu diangkat dan dibiarkan kering.

Pada masa dahulu, ketupat nasi akan disidai di atas para agar betul-betul kering. Cara itu akan membolehkan ketupat nasi disimpan lebih lama sehingga seminggu.

Memandangkan ia boleh disimpan lama, ketupat nasi sering dijadikan bekal untuk perjalanan jauh.

Di tepi pantai udara nyaman
Duduk bersandar di atas kerusi
Beras di dalam sarung dianyam
Itulah makanan ketupat nasi

No comments:

Post a Comment