Monday, 16 May 2022

TUJUAN BERSUKAN BUKAN BERTANDING SAHAJA

 
Bersukan, bersenam atau beriadah adalah satu keperluan kepada setiap individu. Aktiviti sukan melahirkan masyarakat lebih sihat, harmoni dan berinteraksi antara satu sama lain. Selain itu, ia penting dijadikan sebagai aktiviti masa senggang yang berfaedah. 

Aktiviti bersukan bukan sekadar untuk menyertai pertandingan. Disebabkan beranggapan bersukan hanya untuk menyertai pertandingan, banyak individu merasakan jika dia tidak hebat atau mahir dalam sesuatu sukan, dia tidak perlu bermain sukan berkenaan.   

Tidak dinafikan aktiviti bersukan dipertingkatkan dan disasarkan untuk menyertai pertandingan. Adalah menjadi matlamat negara untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan yang menang pingat atau anugerah peringkat antarabangsa. 

Kerajaan memberi peruntukan yang besar untuk melahirkan jaguh sukan yang menyumbang pingat kepada negara dalam temasya besar peringkat dunia seperti Sukan Olimpik, Sukan Komenwel dan Sukan Asia. 

Perlu dicatatkan, Malaysia belum pernah memenangi pingat emas dalam mana-mana acara di Sukan Olimpik. Ini agak mengecewakan, sedangkan negara jiran kita dalam rantau Asia Tenggara ada yang sudah beberapa kali menang pingat emas di temasyar terbesar di dunia itu.

Bersukan tidak terhad kepada tujuan untuk menyertai pertandingan sahaja. Sebaliknya, bersukan sepatutnya dijadikan aktiviti berkala bertujuan menjaga kesihatan. 

Bersukan atau bersenam penting untuk membantu mengaktifkan otot-otot badan untuk meningkatkan kelancaran pengaliran darah dan ketahanan badan. 

Kelancaran pengaliran darah ke seluruh badan penting bagi pengangkutan horman dan zat pemakanan.

Pengaliran darah yang tersekat dan lemah akan mengakibatkan organ-organ badan tidak berfungsi dengan baik yang menyebabkan penyakit berbahaya berkaitan pengaliran darah. 

Aktiviti badan yang aktif meningkatkan kadar metabolisma badan dan pembakaran lemak. Ini dapat mengatasi masalah kadar berat badan berlebihan atau obesiti. Keadaan badan mengalami obesiti mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.

Kepentingan bersukan dan bersenam menyebabkan kerajaan melancarkan program sukan untuk semua dan gaya hidup sihat yang mana setiap orang perlu bersukan setiap hari atau sekurang-kurangnya selama 20 minit setiap kali sebanyak tiga kali seminggu.

No comments:

Post a Comment