Thursday, 28 July 2022

IKAN BEKOK KAMPUNG KUALA BESAR

 
Ikan bekok terkenal di Kelantan. Dikatakan ikan bekok mula diperkenalkan oleh pengusaha di Geting, Tumpat. Namun, kini pengusaha ikan bekok ada di mana-mana. Salah satu pengusaha ikan bekok ialah di Kuala Besar, berhampiran dengan Jeti Kuala Besar yang menjadi tempat persinggahan mereka yang ingin ke pulau-pulau delta Sungai Kelantan di jajahan Tumpat.

Memandangkan kawasan kepulauan kini menjadi tumpuan pelancong dengan adanya Pasar Terapung Sri Tanjung dan Pasar Terapung Pantai Suri, ikan bekok Kuala Besar menjadi semakin terkenal. Banyak pengunjung tertarik untuk membeli ikan bekok untuk dibawa pulang.

Harganya berpatutan kerana terus dari pengusaha. Manakala pembeli boleh memilih sendiri di para tempat menjemur sama ada ingin yang masih ‘basah’ atau sebaliknya.

Ikan bekok adalah ikan yang direndam dengan air garam semalaman atau mengikut masa dikehendaki pembuatnya dan kemudian dijemur selama sehari.

Ikan dijemur itu tidak kering sepenuhnya, tidak seperti ikan kering. Antara jenis ikan yang digunakan untuk membuat ikan bekok ialah iakan gelama, ikan konge atau ikan cencaru dan ikan kerisi.

Ikan bekok goreng dicicah dengan hirisan bawang besar, cili padi dan cuka untuk dinikmati dengan nasi panas.

Bagi memudahkan peminat ikan bekok menikmati menu yang semakin diminati ramai, semakin banyak kedai makan yang menyediakan menu ikan bekok. Bahkan ada kedai makan menggunakan nama 'ikan bekok' sebagai tarikan pelanggan.

No comments:

Post a Comment