Hidup lawannya mati. Bukan bermaksud kita
hendak berlawan dengan mati atau tidak mahu mati. Tetapi maksudnya, yang hidup
pasti akan mati.
Kita yang hidup ini pasti akan mati.
Bersedialah untuk mati pada bila-bila masa biarpun sekarang ini tidak mengalami
apa-apa penyakit berbahaya dan usia masih muda kerana mati tidak semestinya
kerana sakit dan pada usia apabila telah tua.
Kehidupan di dunia ini hanya persinggahan
sementara dalam perjalanan menuju kehidupan kekal abadi di akhirat.
Kita pasti menghadapi saat kematian
sepertimana firman Allah dalam surah al-Anbia ayat 34 bermaksud: “Setiap yang
bernyawa pasti akan mati.”
Dalam ayat lain pula Allah menjelaskan
bahawa apabila tiba masa ajal, maka ia tidak dapat dipercepatkan atau
diperlambatkan walaupun sesaat.
Firman-Nya yang bermaksud: “Dan bagi setiap
umat ada tempoh masanya (yang telah ditetapkan), maka apabila datang ajalnya,
tidak dapat mereka melambatkan walaupun sesaat, dan tidak dapat pula mereka
mempercepatkannya.” (Surah al-Araf, ayat 34).
Setiap hari di sekeliling kita terdapat
saudara, kawan, jiran dan lain-lain diketahui meninggal dunia secara tiba-tiba,
selain yang meninggal ‘dijangkakan’ disebabkan penyakit dan usia tua.
Sebenarnya tidak ada teknologi, atau kuasa
lain yang dapat menghalang kematian yang telah ditetapkan. Usaha manusia
mencipta teknologi proses beku bagi melanjutkan usia manusia (seseorang
dikomakan dan kemudian disedarkan kembali pada masa akan datang) tetap tidak
dapat mengelak daripada kematian kemudiannya.
Allah menempelak usaha orang yang
mengatakan malaikatulmaut tidak dapat mencabut nyawanya kerana berada di tempat
kukuh dan tinggi. Firman Allah bermaksud: “Di mana juga kamu berada, maut akan
mendapatkan kamu (apabila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng
yang tinggi lagi kukuh.” (Surah an-Nisa, ayat 78).
Oleh itu setiap orang perlu bersedia
bila-bila masa untuk menghadapi saat kematian.
Kematian tidak hanya berlaku apabila usia sudah tua atau mengidap
penyakit. Ramai yang menempuh saat kematian ketika usia masih muda dan dalam
keadaan yang sihat.
No comments:
Post a Comment