Thursday, 24 August 2023

BUNGA ROS JEPUN MUDAH DITANAM

 
Bunga ros Jepun sering dijadikan pokok hiasan di laman rumah atau landskap taman. Pokok yang nama saintifiknya Portulaca grandiflora merupakan pokok yang sangat cantik.
 
Menariknya ia mudah ditanam dan tahan panas. Jadi, ia amat sesuai untuk ditanam dan akan tumbuh subur dalam keadaan cuaca di Malaysia.
 
Di Malaysia, bunga ros Jepun ini turut dikenali dengan nama pokok bunga pukul 10 pagi atau pokok bunga kembang 10 pagi. Jolokan nama ini diberi kerana pokok bunga ini dikatakan akan kembang dengan mekar pada pukul 10 pagi.
 
Pokok ros Jepun bukan berasal dari negara Jepun. Sebaliknya, ia dikatakan berasal dari negara Amerika Selatan seperti Brazil, Argentina dan Uruguay.
 
Pokok ros Jepun tumbuh menjalar, tetapi tidak panjang. Ia terdapat banyak jenis warna dan bentuk. Bentuk kelopak bunganya juga sama seperti ros biasa tetapi lebih kecil. Walaupun saiz bunga yang lebih kecil, ia masih cantik untuk dipandang dengan warna bunganya yang terang dan ceria.
 
Kelebihan bunga ros Jepun:
- Mudah dijaga dan tahan lasak
Bukan sahaja tahan dengan cuaca yang panas, pokok bunga Ros Jepun ini juga tahan lasak dan sangat mudah untuk dijaga. Pokok ini hanya memerlukan penjagaan yang minimum untuk hidup dengan subur.
 
- Digunakan bagi menghilangkan gatal-gatal pada badan akibat gigitan serangga
Batang dan daunnya yang diramas dikatakan mampu mengurangkan kesan gatal akibat gigitan serangga.
 
- Mudah membiak dan tumbuh dan subur
Bunga Ros Jepun ini mudah dibiakkan dengan menggunakan kaedah biji benih dan keratan batang. Malah, tanaman ini juga akan tumbuh dengan subur dalam keadaan yang sesuai.
 
- Boleh ditanam dengan pelbagai cara kreatif
Ros Jepun ditanam dengan pelbagai cara yang menarik serta kreatif. Ada yang menjadikan bunga Ros Jepun ini sebagai taman bunga ros, pasu gantung malah tanam bunga Ros Jepun dalam botol. Sungguh menarik!

No comments:

Post a Comment