Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 [A1695] dikuat
kuasa bermula 06 Oktober 2023. Penguatkuasaan itu membuktikan keprihatinan
kerajaan untuk memberikan peluang kedua kepada individu bankrap bagi meneruskan
kehidupan dengan lebih baik dan seterusnya dapat kembali menyumbang kepada
pembangunan ekonomi negara.
Pada 10 Mac lalu, Jemaah Menteri bersetuju
dengan cadangan pindaan kepada Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] yang merupakan
hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk
Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan,
Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri,
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta
Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia.
Pindaan utama melibatkan penambahbaikan
peruntukan pelepasan bankrap dengan Seksyen 33C Akta 360 dipinda bagi membantu
pelepasan bankrap secara automatik dalam tempoh masa tiga hingga lima tahun
dari tarikh individu bankrap menyerahkan pernyataan hal ehwalnya.
Pindaan itu selaras dengan objektif Dasar
Peluang Kedua, pindaan kepada Seksyen 33C dan Subseksyen 33B(2A) Akta 360
dikuatkuasakan secara retrospektif kepada kes kebankrapan yang ditadbir sebelum
permulaan kuat kuasa Akta A1695.
Dasar Peluang Kedua menyasarkan pelepasan
sehingga 130,000 orang bankrap, sehingga tempoh masa satu tahun selepas Akta
A1695 berkuat kuasa. Jumlah tersebut merupakan separuh daripada jumlah kes yang
sedang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi.
Di bawah pindaan Akta Insolvensi 1967,
penambahan dua kategori baharu individu yang boleh dilepaskan melalui sijil
Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) tanpa melalui prosedur bantahan pemiutang
melibatkan Subseksyen 33B(2A).
Dua kategori baharu itu ialah individu
bankrap yang tidak boleh mengurus diri dan hal ehwalnya akibat penyakit mental
mengikut takrifan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001, serta individu bankrap
berusia 70 tahun ke atas yang layak pada pendapat dan pertimbangan KPI tidak
berupaya untuk menyumbang kepada pentadbiran kebankrapan.
Bagi memelihara kebajikan individu bankrap,
Akta A1695 turut membuat semakan had nilai harta bankrap yang boleh
dikecualikan daripada dibahagikan dalam kalangan pemiutang dan had nilai bagi
maksud kelayakan kes untuk ditadbir secara pentadbiran ringkas.
Melalui pelaksanaan Akta A1695, tadbir urus
kebankrapan ditambah baik dengan penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh
bagi pengendalian mesyuarat pemiutang dan penyerahan notis dan dokumen
pentadbiran kebankrapan secara komunikasi elektronik.
Selanjutnya, sebagai inisiatif untuk
mempercepat pentadbiran kebankrapan, kewajipan Ketua Pengarah Insolvensi untuk
mengadakan mesyuarat pertama pemiutang kini dimansuhkan.
No comments:
Post a Comment