Thursday, 18 April 2024

TANAM PADI HUMA DAPAT UNTUNG BESAR

 
Padi huma atau padi bukit adalah salah satu varieti padi yang boleh ditanam tanpa memerlukan air yang banyak berbanding dengan padi sawah.
 
Pada huma pada asalnya ditanam di kawasan bukit atau pedalaman. Namun, tidak menjadi masalah jika pada huma ditanam ditanah biasa, tetapi seeloknya di tanah yang kaya organik.
 
Hasil padi huma bagi setiap kawasan berbanding padi sawah agak kurang. Kawasan satu hektar tanaman padi huma biasanya hanya mengeluarkan 1 hingga 1.5 tan sahaja, berbanding 5 hingga 10 tan padi sawah.
 
Tempoh penuaian pada huma berbeza-beza mengikut varieti, antara tiga bulan hingga lima bulan.
 
Di Malaysia, kawasan penanaman utama padi huma ialah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Beras huma ditanam di Bario, Sarawak paling terkenal. Ada empat varieti beras Bario pada terkenal ialah adan halus, bario tuan, bario merah dan bario celum.
 
Di Semenanjung juga ada penanaman padi huma tetapi tidak begitu dikenali. Pun begitu, penanaman padi huma di daerah Sik, Kedah menarik perhatian ramai. Hasilnya baik dan mendapat sambutan biarpun harga sekitar RM40 hingga RM45 sekilogram.
 
Padi huma rasanya enak dan berkhasiat. Sebab itu harganya mahal, kira-kira 10 kali ganda berbanding harga beras tempatan. Pun begitu, kepada penggemar beras huma dan pentingkan kesihatan, harga tidak menjadi halangan untuk mendapatkannya.
 
Kawasan di Sik yang ada diusahakan penanaman padi huma adalah di Kampung Radik. Cara penanaman adalah mengikut kaedah tradisional di kawasan asalnya terbiar. Jadi, tidak perlu dilakukan penerokaan kawasan baharu.
 
Usaha ini diharapkan dapat mempelbagaikan sumber beras negara, selain penanaman padi sawah yang diusahakan untuk ditingkatkan jumlah pengeluaran untuk memenuhi keperluan beras negara.

No comments:

Post a Comment