Friday, 17 January 2025

BEKAS PEMIMPIN PUTERI, TULANG BELAKANG WANITA

 
Penubuhan Puteri UMNO dipersetujui secara prinsip oleh Majlis Tertinggi (MT) pada 10 Julai 2000, dan 16 Oktober tahun yang sama MT bersetuju secara rasmi menubuhkan Puteri UMNO sebagai sayap pergerakan, bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda menyertai UMNO.
 
Justeru, pada 9 April 2001, Puteri UMNO dengan rasminya diperkenalkan kepada umum. Bagi merealisasikan Puteri UMNO sebagai barisan yang mampu bertindak secara profesional dalam parti di kalangan wanita muda, Datuk Seri Azalina Othman telah dilantik menjadi Ketua Penaja. Bersama beliau juga dilantik beberapa barisan Exco yang mampu mendukung cita-cita parti mengekalkan kedaulatan Melayu.
 
Sayap bongsu pergerakan parti itu dilancarkan pada 3 Ogos 2001 oleh Presiden UMNO pada masa itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ketua Puteri UMNO yang pertama ialah Datuk Seri Azalina Othman, seorang peguam yang banyak terlibat dalam Biro Bantuan Guaman.
 
Setelah lebih 23 tahun usia penubuhan Puteri, kini sebahagian besar pemimpin peringkat Wanita adalah bekas pemimpin Puteri. Ketua Wanita UMNO Malaysia kini disandang oleh Datuk Noraini Ahmad, bekas Ketua Puteri UMNO Malaysia kedua.
 
Wanita di peringkat bahagian di seluruh negara juga kini majoritinya dipimpin oleh bekas pemimpin Puteri. Hal sama berlaku di Wanita UMNO Bahagian Kota Bharu.
 
Ketua Puteri pertama, Yusnita Yusoff biarpun tidak seaktif ketika menjadi ketua Puteri, kini merupakan ketua wanita cawangan. Ketua Puteri kedua, Khazuni binti Othman pernah menyandang jawatan ketua wanita bahagian sebelum meletak jawatan.
 
Setiausaha Wanita UMNO Bahagian Kota Bharu kini disandang Maznah Yaacob, merupakan ketua Puteri ketiga. Manakala Wan Salmiah Ab Ghani yang kini memangku jawatan ketua Wanita bahagian adalah ketua Puteri keempat. Nurul Najihah Yassin, selaku ketua Puteri kelima pula kini adalah ketua penerangan.
 
Ternyata, kewujudan Puteri sebagai sayap UMNO mempunyai peranan besar untuk menjana ahli dan pemimpin kepada Wanita.
 
Gambar (dari kiri) – Salmiah, Yusnita, Maznah dan Najihah.

1 comment: