Thursday, 29 May 2025

MATA DICUNGKIL KERANA MENGUNGKAPKAN KATA NASIHAT

 
Hanya kerana kalimat pendek, mata kirinya dicungkil dengan kejam, dan kebebasannya diragut selama 15 tahun. Namun beliau bukanlah sembarang syeikh. Kata-katanya bukan sekadar lafaz kosong yang lenyap di udara, tapi bagaikan timah panas yang menembus jantung kekuasaan zalim.

Nasihat yang lahir dari iman itu menuntut pengorbanan besar: hilangnya sebelah mata, terpadamnya impian, lenyapnya kebebasan selama lebih dari separuh usia mudanya. Namun dari pengorbanan itu lahirlah satu anugerah yang tiada tara—keteguhan berdiri atas kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam.

Nama beliau ialah Ali Mukhtar Abdul Aal al-Qattan, dilahirkan pada tahun 1947. Beliau menamatkan pengajian dari Fakulti Sosiologi pada tahun 1969, kemudian menyertai Angkatan Tentera Mesir sehingga tahun 1975, menyertai Perang 1967 dan 1973, dan mencapai pangkat kapten dalam unit infantri.

Beliau kemudian berhijrah ke Perancis untuk mendalami ilmu sosiologi dan bertemu dengan orientalis tersohor Jacques Berque. Dalam pengembaraannya, beliau menjejak kaki ke lebih 50 negara, sehinggalah beliau menetap di Madinah al-Munawwarah pada tahun 1980. di situlah permulaan ujian getir dalam hidupnya.

Pada malam ke-27 Ramadan 1413 Hijrah, suasana di Masjid Nabawi begitu hening dan penuh kekhusyukan. Namun kekuasaan yang zalim tidak pernah mengenal kesucian. Masjid itu diarah untuk dikosongkan oleh rakyat biasa demi memberi laluan kepada Husni Mubarak untuk beribadah, ditemani oleh para pengawal bersenjata dan agen rahsia.

Syeikh al-Qattan yang turut berada di sana sedang menunaikan solat Subuh. Setelah selesai, beliau menoleh dan melihat sang diktator berada di hadapannya, dikelilingi oleh penjilat kekuasaan yang mencemari kemuliaan Masjid Nabawi.

Tanpa gentar dan tanpa ragu, Syeikh melangkah menghampiri Mubarak dan bersuara lantang: “Wahai Rais, bertakwalah kepada Allah. Berhukumlah dengan hukum Allah”

Kata-kata itu menggoncang singgahsana pemimpin. Syeikh segera ditahan, dibelenggu, dan dipasung dengan bola besi seberat lebih 10 kilogram. Beliau dibawa ke markas Keselamatan Negara di Jeddah, dan kemudian diserahkan kepada rejim Mesir. Di tanah airnya sendiri, beliau disambut laksana penjenayah.

Detik tragis pun bermula. Beliau disumbat ke Penjara Thora, kemudian dipindahkan ke penjara terkenal kejam, al-Aqrab. Bukan sahaja dipenjarakan, beliau turut diseksa dengan kejam, bahkan mata kirinya dicungkil hidup-hidup. Dan semua ini berlaku tanpa sebarang proses perbicaraan.

Ketua Penjara al-Aqrab, Mejar Jeneral Ibrahim Abdel Ghaffar, yang pernah menunjukkan sedikit simpati kepada Syeikh, dihukum dengan pemindahan. Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly, pernah meluluskan pengampunan. Namun kunci ke luar penjara berada di tangan-tangan istana yang dingin dan tiada belas kasihan. Syeikh menolak menulis surat rayuan, apatah lagi meminta belas ihsan.

Beliau berkata: “Apa yang menghalang kalian untuk menyebutkan kalimat itu? Bertakwalah kepada Allah! Adakah itu suatu jenayah?”

Setelah 15 tahun meringkuk dalam kezaliman, beliau akhirnya dibebaskan—tua, letih, dan lemah, namun semangatnya tetap menyala. Beliau kembali kepada keluarganya dan terus menjadi suara kebenaran, sehinggalah Allah menjemputnya kembali pada September 2018.

Kredit penulis asal.

No comments:

Post a Comment