Friday 22 October 2021

GOLONGAN ANTIVAKSIN AGENDA MUSUH ISLAM

Terdapat di kalangan ibubapa yang agak khuatir dan ragu-ragu untuk memberikan suntikan vaksin atau imunisasi kepada bayi mereka ekoran daripada berita-berita dan khabar angin yang tersebar luas di media maya yang mengatakan bahawa vaksin mengandungi bahan-bahan haram dan membahayakan yang boleh mengancam kesihatan dan nyawa manusia.

Juga turut disebarkan ialah program imunisasi yang dijalankan oleh Kerajaan adalah bertujuan untuk melemahkan umat Islam. Jika umat Islam dalam keadaan berpenyakit, maka lemahlah umat Islam.

Semua berita yang tersebar ini dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan sebenarnya boleh mendedahkan anak-anak dan masyarakat kita dengan kemungkinan dijangkiti penyakit-penyakit merbahaya yang boleh mengancam nyawa.

Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan telah dijalankan oleh Kerajaan sejak tahun 1950an. Imunisasi bertujuan untuk mencegah 12 jenis penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria dan virus tertentu, diberikan percuma kepada bayi dan kanak-kanak di klinik kerajaan.

Kematian kanak-kanak telah menurun sebanyak 85% bagi tempoh 1970 hingga 2000, antaranya hasil dari peningkatan skop perkhidmatan kesihatan termasuk imunisasi. Imunisasi juga telah berjaya membasmi cacar (smallpox) dari dunia ini.

Manakala polio telah berjaya dibasmi di kebanyakan negara di dunia, termasuk Malaysia. Imunisasi bukan saja melindungi penerimanya tetapi juga menghalang penyebaran penyakit tersebut.

Vaksin tidak mengandungi bahan-bahan yang boleh merosakkan tubuh manusia. Ia mengandungi bahan aktif dari bakteria atau virus iaitu antigen yang membantu tubuh manusia menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit apabila dijangkiti.

Vaksin juga mengandungi komponen lain seperti bahan pengawet (preservatives dan additives) serta adjuvant. Setiap komponen dan bahan ini memainkan peranan penting dalam pengawalan kualiti, keberkesanan vaksin serta keselamatannya.

Semua vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Vaksin ini telah dinilai mengikut keperluan piawaian antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya (efikasi).

Kesan sampingan akibat imunisasi selalunya adalah ringan dan tidak berbahaya berbanding dengan kesan jangkitan penyakit itu sendiri. Kesan sampingan yang kerap dilaporkan adalah demam dan sakit di tempat suntikan.

Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, KKM sentiasa memantau kesan sampingan akibat imunisasi di semua fasiliti kesihatan. Sehingga kini, tiada tindakan regulatori terhadap vaksin akibat kesan sampingan.

Sebarang kesan sampingan akibat vaksin juga dilaporkan kepada WHO dan data dikongsi dengan semua negara. Justeru, sebarang kesan sampingan berbahaya dapat diambil tindakan secara bersepadu pada peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment