Jambu air memang diminati ramai. Tekstur buah
yang mirip tembikai sangat rangup menjadikan ia mudah dimakan biarpun di
kalangan kanak-kanak. Isi putih dan ranum berair dengan rasa masam manis. Memang
sedap dimakan terus atau dicicih dangan perisa seperti cuka, kicap dan
sebagainya.
Jambu air atau disebut jambu nawar dalam
dialek Kelantan memang banyak jenis, sama juga dengan banyaknya jenis atau
varieti jambu batu.
Salah satu varieti jambu nawar yang ada ialah jenis kecil berwarna putih. Ada
yang memanggilnya jambu bertih putih atau jambu nawar putih kecil kerana ukuran
saiznya lebih kecil berbanding jambu nawar putih yang berukuran besar.
Nama jambu air bertih digunakan mungkin kerana bentuknya berupa bertih jagung
berwarna putih.
Buah yang dihasilkan berupa
beri dengan pangkal kecil dan hujung sangat melebar hampir mirip kancing. Bentuknya
sama seperti jambu air kancing, kecuali berwarna putih sedangkan jambu kancing
berwarna merah muda.
Pokok jambu bertih putih memang lebat berbuah. Ia berbuah hampir sepanjang
tahun, tetapi yang betul-betul lebat hanya dua kali setahun.
Bunga-bunga jambu menjambak di hujung ranting (terminal) atau muncul di ketiak
daun yang telah gugur (aksial), setiap jambak mempunyai 3-7 kuntum bunga kuning
keputihan.
Tempoh matang buah agak singkat, hanya kira-kira 10 hari dari hari keluar
bunga. Kalau tidak segera dikutip, buahnya akan gugur, lebih-lebih lagi jika
hari hujan. Ketika hendak memetik juga perlu berhati-hati kerana buahnya mudah
gugur hanya disebabkan goyangan pada dahan atau ranting.
Pokok jambu nawar jenis malar hijau dengan ketinggian dua hingga 10 meter.
Untuk memudahkan proses memunggut buah, elok ia sentiasa dipangkas agar tidak
terus meninggi.
No comments:
Post a Comment