Tuesday 12 October 2021

SEJARAH JAMBATAN TOK BALI DIBINA DI ATAS DARAT

 
Tok Bali merupakan suatu kawasan yang amat pesat membangun dengan pebagai perancangan yang berbentuk infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan awam serta pembangunan institusi pendidikan, kesihatan, keselamatan dan industri yang berasaskan hasil laut dalam.

Terletak 16 km dari Bandar Pasir Puteh. Tok Bali menjadi sebuah pusat peranginan terkenal di Kelantan kerana terdapat kawasan pantai yang bersih serta kemudahan penginapan yang selesa.

Tok Bali mula mendapat perhatian sejak tahun 1996 dengan siapnya pembinaan Jambatan Tok Bali yang menyeberangi Terusan Semerak.

Terusan Semerak menjadi nadi pembangunan kawasan Tok Bali di Pasir Putih. Pengunjung akan terpegun melihat terusan yang luas dan suasana keluar masuk kapal dan bot nelayan laut dalam melaluinya.

Namun, kebanyakan orang lebih mengenali Terusan Semerak sebagai Sungai Semerak. Secara fizikalnya, tiada beza antara sungai dengan terusan. Namun, secara istilahnya, terusan dan sungai berbeza.

Terusan adalah laluan air yang dibina atau digali. Manakala sungai pula adalah laluan air terbentuk secara semulajadi.

Terusan Semerak digali sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan kawasan Kemasin Semerak melibatkan dua jajahan (daerah) Bachok dan Pasir Putih.

Rancangan itu dikenali Projek Kemasin Semerak (Perkasa). Manakala kawasan yang diliputi dalam rancangan itu pula dikenali Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak (IADA). IADA merupakan badan yang bertanggungjawab menyelia aktiviti pembangunan di kawasan berkenaan.

Jambatan Tok Bali yang menjadi mercu tanda di kawasan itu ketika proses pembinaannya dibina di atas darat. Memang tidak ada sungai langsung. Kawasan lapang yang dijadikan tempat penduduk kampung bermain bola sepak di situ. 

Setelah siapa jambatan, kemudian baharu terusan dibina di bawahnya. Pembinaan jambatan di atas darat lebih mudah dan menjimatkan, biarpun kemudiannya perlu mengorek terusan. 

Panjang jambatan melengkung yang menjadi kebanggaan itu kira-kira 300 meter. Jambatan dibina melengkung bertujuan membolehkan kapal melalui di bawahnya. Jambatan Tok Bali dibuka kepada kegunaan awam pada tahun 1996.

Terusan Semerak merupakan nadi utama kepada pembangunan bandar perikanan di Tok Bali dan memberi kemudahan kepada lebih 300 bot nelayan laut dalam dan nelayan tradisional mendaratkan hasil tangkapan di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali.

Selain jeti LKIM, di Terusan Semerak menjadi pangkalan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Kelantan, serta beberapa agensi lain serta pihak swasta yang memanfaatkan kegunaan terusan sepanjang kira-kira 7.5 kilometer itu.

Pembinaan Terusan ini menjadi pemangkin utama pembangunan di Tok Bali, di mana wujudnya pengangkutan melalui laut ke Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Redang di Laut China Selatan.

Demikian juga dengan kewujudan jeti pendaratan ikan laut dalam sehingga kepada pertumbuhan industri pelancongan dan produk berasaskan hasil laut seperti keropok, bebola ikan dan sebagainya.





No comments:

Post a Comment