Thursday, 21 July 2022

SULTAN ISMAIL RAJA KELANTAN 1920

 
Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad IV ialah sultan Kelantan yang telah dimahkotakan pada tahun 1920 dengan gelaran Sultan Ismail berikutan kemangkatan ayahandanya, Sultan Muhammad IV. Bondanya ialah Sultanah Wan Zainab binti Wan Muhammad Amin.

Baginda memerintah sehingga mangkat pada tahun 1944 dan digantikan oleh adindanya Tengku Ibrahim. Pada tahun 1915, Tengku Ismail yang pada ketika itu bergelar Tengku Sri Indera Mahkota telah berkahwin dengan Tengku Nik Tengku Kaya Pahlawan.

Sebelum menjadi Sultan Kelantan, baginda tidak menjadi Raja Muda Kelantan kerana baginda masih muda dan ayahanda saudaranya Long Zainal Abidin memegang jawatan tersebut.

Jawatan Raja Muda Kelantan sangat penting pada zaman tersebut kerana jawatan ini ibarat Raja Kedua yang mana sistem ini ditiru dari Dinasti Chakri (Siam) iaitu adinda raja yang memerintah ditabal sebagai Raja Muda yang mempunyai balairongseri dan istana sendiri bagi membantu pentadbiran negeri.

Sebaliknya, ayahandanya iaitu Sultan Muhammad IV menganugerahi gelaran Tengku Sri Indera kepadanya pada 11 Mac 1901.

Sepanjang zaman pemerintahan Sultan Ismail, negeri Kelantan terus berkembang maju dalam berbagai-bagai bidang terutama sebelum pendudukan Jepun di negeri Kelantan pada tahun 1941.

Di dalam zaman pendudukan Jepun ekonomi menjadi meleset menyebabkan pembangunan tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.

Tiga tahun terakhir pemerintahan Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad IV, Kelantan telah diduduki oleh Jepun. Mulai 18 Oktober 1943, Jepun, sebagai menghargai bakti Thailand merelakan serangan terhadap Tanah Melayu telah diserahkan negeri-negeri Melayu Utara. Keempat-empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu telah diletak di bawah Pentadbiran Tentera Thai yang berpusat di Alor Star, Kedah.

Pentadbiran Tentera Thai ini berada di bawah kuasa seorang Pesuruhjaya Tinggi Tentera Thai ataupun Khaluang Tahan Besar. Kecuali hal ehwal urusan ugama Islam dan adat istiadat Melayu, Khaluang Tahan Besar ini memiliki kuasa yang cukup banyak.

Khaluang Tahan Besar yang pertama bagi Negeri-negeri Melayu Utara ialah Mejar Jeneral Kamol Sra Bhaisiradhikaran Jotikasathien dan beliau dinasihati oleh Kapten Momrojuorse Chalermlar Tharenong.

Di setiap negeri pula dilantik seorang Pesuruhjaya Tentera Thai atau Khaluang Tahan Phra Chamrat yang bertugas sebagai pembantu kepada Khaluang Tahan Besar. Makanya, Kelantan kini diserahkan kepada Thailand, dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan diberi nama Montri Spa.

Untuk mengaburi mata awam, Montri Spa ini kononnya dipengerusikan oleh Sultan dinegeri berkenaan.Baginda Sultan Ismail mulai mengetuai Montri Spa ini pada 1 Januari 1944. Pada bulan Jun tahun tersebut, Sultan Ismail mangkat di usia 63 tahun.

Baginda digantikan oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Muhammad IV iaitu adindanya. Ini kerana Sultan Ismail tidak berputera. Sultan Ibrahim menaiki takhta Kelantan pada 21 Jun 1944 dan dimasyhurkan secara rasmi di Istana Balai Besar, Kota Bharu pada 25 Oktober 1944.

Pada tahun 1921 Sultan Ismail telah mengarahkan agar digubah sebuah lagu kebangsaan Negeri Kelantan. Seruan ini disahut oleh M.S. Menzis, Ketua Pancaragam Pasukan Polis Kelantan telah menggubah sebuah lagu untuk dipersembahkan kepada baginda. Pada 5 Julai 927 baginda telah memberi perkenan agar lagu ini dimainkan pada Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda dengan nama "Selamat Sultan".

Pada tahun 1930 seni kata lagu “Selamat Sultan" telah digubah oleh Tengku Mahmud Mahyiddin, Pegawai Pelajaran Kelantan pada waktu itu.

Baginda memerintah Kelantan dari tahun 1920 sehingga baginda mangkat pada tahun 1944 akibat penyakit tuberculosis.

No comments:

Post a Comment