Saturday 28 July 2018

IBADAT KORBAN TANDA BERSYUKUR

Umat Islam yang mampu digalakkan menyembelih binatang korban pada Hari Raya haji. Ibadat korban dilaksanakan sebagai tanda bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada hamba-Nya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu." (Hadis riwayat Tirmizi)

Melaksanakan ibadat korban bertujuan mendekatkan diri kepada Allah, sedangkan pada masa sama mendekatkan diri kita dengan golongan memerlukan pertolongan. Daging korban yang diagihkan kepada golongan yang layak memberi kegembiraan kepada golongan berkenaan. Sesungguh Islam amat mementingkan soal hubungan dengan saudara seagama.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Perbandingan dan perumpamaan orang beriman itu dari sudut saling berkasih dan bertimbang rasa sesama mereka adalah seumpama satu tubuh badan manusia apabila suatu anggotanya berasa sakit maka seluruh tubuh badan itu akan menderita tidak lelap tidur dan diserang demam."

Berkorban adalah sebagai tanda syukur kepada Allah Taala terhadap nikmat yang dikurniakan-Nya kepada kita dan menanamkan nilai murni yang digalakkan Islam ke dalam jiwa seperti sifat belas kasihan, sikap penyayang, bekerjasama, suka menolong dan bersedekah.

Antara fadilat berkorban adalah menambah amal kebajikan seperti disabdakan Rasulullah maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan." (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).

Di samping itu, ia sebagai penebus dosa seperti disabdakan Baginda makudnya: "Hai Fatimah, berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang lalu." (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

Oleh itu, tidakkah cukup kebajikan dan penghapusan dosa bagi pihak yang menyembelih sedangkan dagingnya dengan pelbagai cara pemanfaatan yang dibenarkan syarak. Kepada yang mampu melaksanakan ibadat korban, lakukan sebagai tanda keimanan memenuhi tuntutan agama dengan hati dan perasaan bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah.

No comments:

Post a Comment