Sunday 18 December 2016

Fungsi zakat bantu golongan miskin

Kebaikan zakat. Allah SWT melebihkan pemberian kekayaan kepada invividu bukan bermakna darjatnya di sisi Allah SWT tinggi.  

Allah SWT tidak memandang kepada kekayaan atau pangkat. Sebaliknya, di sisi Allah SWT yang dipandang terhadap manusia adalah takwanya. 

Antara tanda takwa adalah melasanakan perintah Allah SWT, terutama yang berkaitan Rukun Islam. Menunaikan zakat satu perintah yang jelas dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkan zakat." - (Surah al-Baqarah, ayat 43). 

Dalil berdasarkan hadis pula sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Islam diasaskan atas lima perkara, kesaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad pesuruh-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan fardu haji dan berpuasa pada Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Zakat berperanan memastikan keperluan kehidupan dalam masyarakat menjadi lengkap dan memenuhi keperluan. 

Golongan kaya perlu sedar, kehidupan senang dan mewah mereka sebenarnya disumbangkan golongan miskin.  

Bayangkan jika semua manusia dalam keadaan kaya, siapakah akan sanggup bekerja atau berkhidmat kepada orang lain. Ketika itu semua manusia perlu melakukan sendiri untuk memenuhi keperluan hidup. 

Maka itu, golongan kaya perlu mempunyai hubungan baik dengan golongan miskin. Hidup saling lengkap melengkapkan dan tolong menolong.  

Golongan miskin berasa mereka dihormati dan diterima dalam masyarakat apabila golongan kaya sanggup membantu mereka dalam hal pengagihan zakat. 

Jadi, melalui hubungan baik itu, mudahlah terbentuk masyarakat yang harmoni dan tidak keberatan untuk saling membantu dalam ruang lingkup tugas masing-masing.
           
Hubungan sesama Islam diumpamakan seperti satu bangunan yang saling melengkapkan antara satu sama lain.  

Jika ada satu bahagian yang runtuh, maka akan runtuhlah keseluruhan bangunan itu.

Fungsi lain zakat untuk mengatasi masalah pengangguran dan kemiskinan. Fungsi ini amat berkesan apabila wujudnya mekanisma ekonomi yang mana berlaku kitaran ekonomi yang pesat.            
           
Apabila golongan kaya mengeluarkan zakat, wang itu boleh digunakan oleh penerimanya. Ini mengelak harta beku atau disimpan tanpa dibelanjakan.  

Perbelanjaan dalam sistem ekonomi akan mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya mengatasi pengangguran.

Suasana ekonomi yang lancar sebenarnya memberi keuntungan kepada semua peringkat rakyat.  

Golongan kaya akan memperoleh keuntungan melalui sektor ekonomi yang mereka terlibat, sedangkan golongan miskin akan berusaha untuk mendapat rezeki lebih banyak dan seterusnya terkeluar dari golongan miskin.

Golongan miskin yang dibantu dapat keluar dari penderitaan hidup dan mereka mempunyai peluang untuk berdikari.  

Apabila tidak wujud lagi pengangguran, tahap produktiviti dalam masyarakat dan negara bertambah. 

Kitaran ekonomi yang lebih baik memberi peluang lebih banyak pihak terlibat dalam aktiviti eknomi dan seterusnya mencapai tahap ekonomi penuh.

No comments:

Post a Comment