Saturday 26 September 2020

BUDAYA BURUK DI MEDIA SOSIAL

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia menjadikan rakyat Malaysia antara pengguna media sosial tertinggi dibandingkan dengan nisbah jumlah penduduknya.

Semua orang hatta kanak-kanak kini menjadi pengguna dan pembuat kandungan yang dimuat naik dan dimuat turun dalam aplikasi media sosial.

Semua ini hasil pembangunan negara dalam menjadikan rakyat negara ini celik teknologi maklumat dan dapat mengakses maklumat secara mudah dan pantas.

Pada masa sama, perkembangan teknologi maklumat dan media sosial ini jika tidak digunakan secara baik boleh memberi kesan buruk terhadap sosiobudaya masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sopan santun serta budi bahasa yang tinggi.

Sejak kebelakangan ini, kita sering menerima maklumat dan bentuk tulisan dan audio visual yang diviralkan dalam media sosial mengandungi kata-kata kesat dan kotor yang seolah-olah tidak melambangkan budaya luhur budi dan bahasa rakyat Malaysia yang terkenal dengan sopan santunnya.

Kata-kata kesat, makian dan cercaan ini menjadi ratib harian sebahagian masyarakat Malaysia sehingga mempengaruhi generasi muda untuk merasakannya sebagai sesuatu yang normal dalam kehidupan harian.

Apatah lagi kata-kata kesat, kotor dan makian ini turut diucap dan dihamburkan mereka yang berpengaruh seperti ahli politik, selebriti dan influencer media sosial.

Ada ketikanya, kata-kata kesat dan kotor ini secara khususnya ditujukan kepada individu dan kumpulan tertentu dalam masyarakat.

Secara umumnya, bahasa kesat, kotor dan makian tidak dapat diterima masyarakat Malaysia yang dianggap luhur budi pekerti dan budi bahasa.

Amat membimbangkan jika menghamburkan bahasa kesat ini bertebaran secara berleluasa dan diterima sebagai satu norma baru dan budaya bagi masyarakat Malaysia dalam media sosial.

Ia secara tidak langsung memberikan imej tidak baik kepada rakyat Malaysia dalam dunia tanpa sempadan seolah-olah rakyat Malaysia ini tidak beradab dan tidak beretika.

Oleh itu, sudah tentu mulai hari ini, kita perlu secara serius mendidik generasi muda dan masyarakat dengan tatasusila dan etika berkomunikasi di media sosial.

Garis panduan dan mungkin peraturan berkaitan penggunaan media sosial ini boleh diperkemaskan dalam merujuk penggunaan bahasa kesat, kelucahan melampau, memalukan fizikal, kata nista, carutan dan cacian yang menjatuhkan maruah seseorang di hadapan masyarakat.

Lebih utama kita mendidik generasi kita seawal dari rumah supaya terus mengamalkan tatasusila budaya timur masyarakat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa dan kesantunannya.

 

No comments:

Post a Comment