Sunday 18 October 2020

ANAK RAYU BAPA TIDAK TERUS HISAP ROKOK


Gambar ini dimuat turun dari FB yang kirim seorang bapa mengenai poster yang dilukiskan oleh anaknya sendiri. Ini membuktikan kanak-kanak pun tahu tentang kesan merokok. Maklumat itu mungkin diberitahu oleh guru mahupun pembacaan atau tontonan di video.

Tidak kisahlah di mana maklumat itu diperoleh, yang penting apakah tindakan ibu bapa dan orang dewasa tentang ‘rayu’ kanak-kanak itu? Adakah kita sekadar menganggapnya sebagai anak kreatif tanpa memikirkan isi hati kanak-kanak untuk kebaikan diri mereka dan keluarga?

Kita mengetahui tentang bahaya merokok kepada perokok. Bagaimanapun tidak banyak orang menyedari tentang bahaya asap rokok kepada orang yang berada berhampiran dengan perokok. Bahkan, kesan bahayanya tidak kurang seperti merokok.

Orang yang menyedut asap rokok yang dihembus oleh perokok dipanggil perokok pasif. Seseorang perokok pasif yang berkerja bersama beberapa orang perokok di pejabat yang sama mendapat kesan asap rokok sama seperti dia menghisap sebanyak 6 batang rokok sehari. Kesannya lebih bahaya jika berada di tempat tertutup yang pengudaraan terhad.  

Kajian terkini mendapati perokok pasif sebenarnya mendapat kesan buruk lebih tinggi berbanding perokok sendiri. Laporan Agensi Pelindungan Alam Sekitar California pada 1997 menganggarkan 147 hingga 251 orang bagi setiap juta perokok pasif di Califonia mati akibat penyakit disebabkan tembakau. Banyak bukan perokok mengalami penyakit atau tanda-tanda penyakit seperti dialami perokok.

Hal ini menunjukan satu kesan yang tinggi akibat asap rokok kepada perokok pasif. Mereka terpaksa menanggung akibat perbuatan orang lain. Hakikat ini satu bentuk ketiadakadilan sosial di mana orang lain melakukan perbuatan, orang lain turut menerima akibatnya.

Istilah sains bagi asap rokok yang dihembus oleh perokok ialah asap tembakau persekitaran (ETS). Kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati ETS mengandungi 4000 bahan beracun, di mana termasuk 22 bahan kimia, 12 agen penyebab barah dan 10 logam berat.

Kandungan utama asap rokok ialah karbon monoksida, iaitu gas yang sama dikeluarkan dari eksoz kenderaan. Bahan tersebut mampu menghalang kemampuan darah untuk membawa oksigen ke seluruh bahagian badan.

Ketiadaan atau kekurangan oksigen sampai ke seluruh bahagian badan boleh menyebabkan perjalanan fungsi badan terganggu. Ia menyebabkan keupayaan fikiran menjadi lemah dan kecergasan badan menurun. Orang yang terperangkap dalam asap rokok yang tebal seperti dalam bangunan, boleh mengakibatkan pening kepala, sesak nafas dan pitam.

Perbuatan merokok mendedahkan perokok kepada banyak berbahaya. Malangnya sikap ‘degil’ perokok bukan saja mendatangkan bahaya kepada dirinya sendiri tetapi kepada banyak orang.

Ini bermakna perbuatan merokok bukan soal peribadi lagi. Perokok mengganggu dan mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai. Jadi, adalah hak untuk orang ramai melarang perokok daripada menghampirinya.

Kerajaan telah menetapkan adalah menjadi satu kesalahan merokok di tempat awam. Bagaimanapun disebabkan kurang penguatkuasaan, peraturan tersebut tidak dipatuhi. Perokok tidak peduli perasaan orang tidak merokok. Asalkan tabit buruk mereka dapat diteruskan, perokok buat tidak peduli apa orang nak kata.

Perokok pasif mudah sensitif kepada ETS. Berada dalam persekitaran yang dipenuhi asap rokok mudah menyebabkan perokok pasif mengalami pening kepala, muntah dan menyerang sistem badan yang menyebabkan keadaan lemah badan. 

Kesan paling ketara ditanggung oleh kanak-kanak dan bayi. Ini kerana keupayaan sistem pernafasan mereka masih di peringkat rendah. Paru-paru kanak-kanak tidak berupaya melakukan tugas berat seperti paru-paru orang dewasa ketika menyedut udara tercemar asap rokok. Begitu juga sistem imunisasi badan mereka masih rapuh.

Kanak-kanak yang terdedah yang terdedah kepada ETS mudah mengalami jangkitan pada telinga dan sistem pernafasan. ETS juga mempengaruhi tumbesaran fizikal dan mental kanak-kanak. Kadar bahaya yang terpaksa ditanggung oleh kanak-kanak lebih tinggi berbanding orang dewasa.

Perokok harus sedar perkara ini. Perbuatan itu dikategori sebagai tidak berperikemanusiaan. Perokok hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan buruk ditanggung oleh orang lain, termasuk ahli keluarga sendiri.

Fenomena ini perlu diambil langkah pencegahan agar semua orang mendapat manfaatnya. Bapa yang merokok patut sedar perbuatan merokok di dalam rumah berhampiran dengan anak yang masih kecil samalah seperti memberi racun kepada anak.

Banyak bapa merokok ketika mendukung anaknya yang masih berusia bayi.  Malah ada bapa bermain-main dengan anak secara menghembuskn asap rokok ke muka anak. Perbuatan itu dikenalpasti berpunca kejahilan pengetahuan mengenai bahaya ETS. Tetapi ada bapa yang sememangnya degil dan berhati batu tetap melakukan perbuatan itu biarpun sedar akan bahaya ETS terhadap anaknya. 

Anak dari kalangan perokok mengalami dua keadaan berkaitan rokok. Pertamanya ialah bahaya asap rokok yang mereka kongsi ketika masih kecil akibat perbuatan tidak bertanggungjawab bapa dan mungkin juga ibu. Anak daripad keluarga merokok boleh dianggap telah merokok sejak usia bayi.

Kesan kedua ialah anak tersebut mudah terpengaruh untuk turut menghisap rokok apabila usia meningkat. Anak yang bapanya seorang perokok turut terpengaruh dengan tabiat bapanya dan menganggap perbuatan itu perlu diikuti. Perbuatan dilakukan bapa mudah mempengaruhi anak turut melakukannya.  

Selain kanak-kanak, ibu mengandung juga menanggung kesan buruk yang tinggi terhadap ETS. Janin dalam kandungan yang mengalami kesan ETS berkemungkinan akan lahir sebelum tempohnya dan mengalami kekurangan berat. ETS juga boleh mengakibatkan kecacatan fizikal dan mental kepada janin.     

Janin yang tercemar dengan ETS, selepas dilahirkan memungkin tidak dapat membesar dengan sempurna. Kesan ETS kepada bayi juga menyebabkan sistem pertahanan badan bayi menjadi rendah dan memberi kesan langsung kepada kemampuan otak bayi.

Justeru, amat penting bagi bapa yang merokok segera menghentikan tabiat merugikan itu. Fikirkan tentang bahaya yang terpaksa ditanggung oleh anak-anak dan isteri.  Bapa yang baik tentu tidak akan memperjudikan nasib anak-anak dan isteri hanya kerana rokok. Sekiranya terlalu sukar untuk berhenti merokok, elak daripada merokok dalam rumah atau berhampiran ahli keluarga. 

Wujudkan suasana bebas asap rokok dalam keluarga. Hidup keluarga lebih ceria dan selamat tanpa ahli keluarga yang merokok.  

No comments:

Post a Comment