Friday 19 February 2021

APABILA BERLAKU IKATAN JANJI, TANDA SALING MEMPERCAYAI

Apabila berlaku ikatan janji, ia sebenarnya hasil daripada sikap saling mempercayai dan menghormati antara kedua-dua pihak yang mengikat janji. Pihak pertama yang mengucapkan janji mempunyai perasaan menghormati pihak kedua yang secara jujur menerima janji, memberi peluang untuknya melakukan sesuatu pada masa akan datang.  

Manakala pihak kedua pula mempercayai pihak pertama akan melaksanakan janji yang diucapkan.   

Daripada ikatan janji memperlihatkan hubungan baik di mana kedua-dua pihak bersedia bertolak ansur dalam soal perlaksanaan sesuatu perkara. Pihak pertama menyatakan kesediaan dan pihak kedua sanggup menangguhkan perlaksanaan pada masa akan datang.

Berdasarkan kepada sifat-sifat murni terbentuk dalam ikatan janji, maka perlu dilaksanakan agar tidak timbul perkara di sebaliknya. Banyak hubungan baik antara dua individu, atau pihah terputus disebabkan mungkir janji.   

Padah tidak menunaikan janji memang buruk. Kerugian yang ditanggung bukan sahaja di dunia, bahkan lagi di akhirat nanti. Orang yang tidak menunaikan janji termasuk golongan munafik.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tiga perkara, sesiapa yang berada di dalamnya, maka dia adalah munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim. (Perkara itu ialah) Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia memungkiri dan apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Amat rugi dan malang sesiapa termasuk golongan munafik kerana balasan di neraka nanti duduknya di tingkatan paling bawah. 

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 145).

Banyak orang berjanji yang diniatkan untuk menipu. Janji yang diucapkan sekadar menyakinkan pihak kedua bahawa perkara tersebut akan dilakukan bagi melepaskan satu keadaan terdesak atau ‘menunaikan’ permintaan pihak kedua yang inginkan sesuatu.

Disebabkan banyak kes mungkir janji, banyak pihak kedua tidak ingin menerima janji.  Mereka lebih suka perkara yang berkenaan disempurnakan serta merta atau tidak terikat dengan janji.

Ada pihak bersumpah atas nama Allah semata-mata agar janjinya diterima. Ia dianggap lebih menyakinkan pihak kedua. Malangnya, sumpah dibuat main-main dan dianggap sekadar seperti perkataan biasa.

Sesiapa bersumpah dengan nama Allah menanggung tanggungjawab paling berat yang perlu dilaksanakan. Selagi sumpah tersebut tidak dilaksanakan, maka tidak dapat ditarik kembali. 

Di segi undang-undang, janji dipanggil kontrak yang menghendaki pihak terbabit mematuhinya. Ikatan kontrak dilakukan secara bertulis dan menepati syarat tertentu. Jika tidak dipatuhi kontrak, hal itu boleh dibawa ke mahkamah untuk diadili dan ditentukan hak pihak-pihak mengikat kontrak.

No comments:

Post a Comment